Saturday, May 23, 2009

Akta Gantian Perintah Am Bab A (2005)

PERATURAN-PERATURAN PEGAWAI AWAM (PELANTIKAN, KENAIKAN PANGKAT DAN PENAMATAN PERKHIDMATAN) 2005


PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
PERATURAN-PERATURAN PEGAWAI AWAM (PELANTIKAN, KENAIKAN PANGKAT DAN PENAMATAN PERKHIDMATAN) 2005
PADA menjalankan kuasa yang diberikan oleh Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong membuat peraturan-peraturan yang berikut:

BAHAGIAN I : PERMULAAN

Nama dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Peraturan-peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005.

(2) Peraturan-Peraturan ini mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2005.

Pemakaian
2. Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan Bahagian X Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan ini hendaklah terpakai bagi semua pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan dalam perkhidmatan awam.

Pemakaian tatacara pelantikan
3. (1) Tatacara yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan ini bagi membuat pelantikan ke dalam perkhidmatan awam di bawah bidang kuasa suatu Suruhanjaya hendaklah terpakai bagi semua pelantikan tetap atau sementara, melainkanpelantikan tertentu yang dikecualikan oleh Suruhanjaya.
(2) Tatacara pelantikan bagi pegawai kontrak hendaklah ditentukan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Tafsiran
4. Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“jabatan” termasuklah—
(a) sesuatu Kementerian;
(b) sesuatu Jabatan Persekutuan di peringkat persekutuan, wilayah, negeri, atau daerah dalam Persekutuan;
(c) sesuatu Jabatan Persekutuan di luar negara; dan
(d) mana-mana entiti lain dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
“kenaikan pangkat” ertinya peningkatan secara hakiki dari satu gred ke suatu gred yang lebih tinggi dalam perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat;
“Ketua Jabatan” ertinya seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu jabatan atau Ketua Perkhidmatan, mengikut mana-mana yang berkenaan;
“Ketua Perkhidmatan” ertinya seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu perkhidmatan;
“pegawai” ertinya semua kategori pegawai yang sedang berkhidmat yang dilantik oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak;
“pelantikan” ertinya pelantikan ke dalam perkhidmatan awam oleh Suruhanjaya secara tetap, sementara atau kontrak, termasuklah pelantikan kali pertama dan pelantikan seseorang pegawai yang sedang berkhidmat di dalam mana-mana skim perkhidmatan;
“pemangkuan”, yang berhubungan dengan pegawai awam, ertinya pelaksanaan tugas oleh seseorang pegawai secara sepenuh masa, suatu jawatan lain yang lebih tinggi grednya daripada gred hakiki pegawai itu dalam perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat;
“penanggungan kerja”, yang berhubungan dengan pegawai awam, ertinya pelaksanaan tugas, di samping tugasnya sendiri bagi suatu tempoh yang dinyatakan, suatu jawatan lain yang diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan;
“pengamal perubatan berdaftar” ertinya pengamal perubatan yang didaftarkan di bawah Akta Perubatan 1971 [Akta 50];
“perkhidmatan awam” ertinya perkhidmatan awam Persekutuan di bawah perenggan (b), (c), (d) dan (h ) Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan;
“pertukaran sementara” ertinya pelantikan seseorang pegawai ke perkhidmatan yang lain di bawah perenggan (a), (b), (c), (d) dan (h) Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan atau pelantikan ke suatu jawatan dalam skim perkhidmatan yang lain di bawah pihak berkuasa melantik yang sama untuk tempoh tertentu tanpa memutuskan ikatan pegawai dengan perkhidmatan terdahulunya;
“peminjaman” ertinya pelantikan seseorang pegawai perkhidmatan di bawah perenggan (a), (b), (c), (d) dan (h) Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan ke—
(a) perkhidmatan di bawah perenggan (g) Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan;
(b) pihak berkuasa berkanun;
(c) pihak berkuasa tempatan; atau
(d) mana-mana organisasi di dalam atau di luar Malaysia, untuk tempoh tertentu tanpa memutuskan ikatan pegawai dengan perkhidmatan terdahulunya, termasuk pelantikan pegawai di bawah perenggan (f) Fasal (1) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan ke perkhidmatan pihak berkuasa berkanun, pihak berkuasa tempatan atau organisasi di dalam atau di luar Malaysia;
“Suruhanjaya” ertinya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, mengikut mana-mana yang berkenaan.

BAHAGIAN II : PELANTIKAN

Pelantikan mengikut skim perkhidmatan
5. (1) Semua pelantikan ke dalam perkhidmatan awam hendaklah mengikut syarat yang dinyatakan dalam skim perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa pada masa itu.

(2) Tertakluk kepada subperaturan (1) jika ada apa-apa syarat yang dinyatakan dalam mana-mana skim perkhidmatan perlu dipinda, Ketua Jabatan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Pelantikan untuk warganegara sahaja
6. (1) Semua calon bagi pelantikan ke dalam perkhidmatan awam mestilah warganegara Malaysia.
(2) Walau apa pun subperaturan (1), Yang di-Pertuan Agong boleh, atas alasan kepentingan negara, membenarkan pelantikan seseorang yang bukan warganegara secara kontrak dan peruntukan dalam Bahagian X hendaklah terpakaikepada pegawai itu.

Pelantikan semula pegawai tetap yang telah meletakkan jawatan
7. Seseorang pegawai tetap yang telah meletakkan jawatan tidak boleh dilantik semula ke dalam perkhidmatan awam kecuali dengan kebenaran khas Suruhanjaya, setelah menimbang laporan daripada Ketua Jabatan tempat pegawai itu berkhidmat sebelum peletakan jawatannya mengenai sebab peletakan jawatannya.

Pelantikan semula pegawai yang telah dibersarakan atas sebab kesihatan
8. (1) Seseorang pegawai yang telah dibersarakan atas sebab kesihatan boleh dilantik semula ke dalam perkhidmatan awam jika pegawai itu disahkan sihat dan berkeupayaan melaksanakan tugasnya dengan memuaskan oleh suatu panelperubatan yang ditubuhkan atas permintaan Suruhanjaya.
(2) Bagi maksud subperaturan (1), panel perubatan itu hendaklah mengandungi tidak kurang daripada dua orang pengamal perubatan berdaftar, yang salah seorang daripada mereka adalah pakar dalam penyakit yang pernah dihidapioleh pegawai itu.

Pelantikan semula pegawai yang telah ditamatkan perkhidmatan atau dibuang kerja
9. Seseorang pegawai yang telah ditamatkan perkhidmatan atau dibuang kerja tidak boleh dilantik semula ke dalam perkhidmatan awam kecuali dengan kebenaran khas Suruhanjaya.

Pelantikan pegawai yang sedang berkhidmat
10. Seseorang pegawai yang sedang berkhidmat boleh dilantik ke suatu jawatan dalam skim perkhidmatan yang lain jika pegawai itu mematuhi syarat yang dikehendaki oleh skim perkhidmatan yang lain itu.

Kembali ke dalam skim perkhidmatan terdahulu
11. (1) Seseorang pegawai yang telah disahkan dalam skim perkhidmatan terdahulunya sebelum dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain boleh dibenarkan oleh Suruhanjaya untuk kembali ke dalam skim perkhidmatan terdahulunya apabila gagal untuk disahkan ke dalam skim perkhidmatan yang lain itu.

(2) Walau apa pun subperaturan (1), Suruhanjaya boleh membenarkan pegawai itu kembali ke dalam skim perkhidmatan terdahulunya dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kuat kuasa pelantikannya ke dalam skim perkhidmatan yang lain itu jika—

(a) ada kekosongan jawatan dalam skim perkhidmatan terdahulu pegawai itu;
(b) kegagalan pegawai itu untuk disahkan bukanlah atas sebab kelakuannya yang tidak memuaskan; dan
(c) persetujuan Ketua Perkhidmatan yang berkenaan diperoleh.

(3) Bagi maksud subperaturan (1), pegawai itu hendaklah diberikan mata gaji yang sama dengan yang diterimanya sehari sebelum tarikh pegawai itu dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain itu.

Peminjaman pegawai
12. (1) Seseorang pegawai boleh, dengan persetujuan pegawai itu sendiri dan Ketua Jabatannya dan dengan kelulusan Suruhanjaya, dipinjamkan, tertakluk kepada apa-apa syarat dan bagi apa-apa tempoh sebagaimana yang boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong, kepada mana-mana perkhidmatan awam Negeri, pihak berkuasa berkanun, pihak berkuasa tempatan atau mana-mana organisasi, di dalam atau di luar Malaysia.

(2) Seseorang pegawai perkhidmatan awam Negeri boleh dipertimbangkan oleh Suruhanjaya untuk dipinjamkan kepada perkhidmatan awam tertakluk kepada apa-apa syarat dan bagi apa-apa tempoh sebagaimana yang boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pertukaran sementara
13. Seseorang pegawai boleh, dengan kelulusan Suruhanjaya, dilantik secara pertukaran sementara kepada mana-mana jawatan dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada apa-apa syarat dan bagi apa-apa tempoh sebagaimana yang boleh ditentukan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

BAHAGIAN III : PENGAMBILAN

Tatacara pengambilan
14. (1) Apa-apa pengambilan pegawai ke dalam perkhidmatan awam hendaklah diiklankan dalam sekurang-kurangnya satu akhbar harian bahasa Melayu.
(2) Bagi maksud subperaturan (1), iklan itu hendaklah menyatakan antara lain—
(a) nama jawatan dan taraf pelantikan;
(b) nama skim perkhidmatan;
(c) maklumat gaji;
(d) kelayakan akademik dan kelayakan lain yang dikehendaki;
(e) taraf kewarganegaraan pemohon;
(f) tarikh tutup permohonan; dan
(g) alamat ke mana permohonan patut dikirimkan

(3) Bagi maksud subperaturan (1), pegawai itu hendaklah diberikan mata gaji yang sama dengan yang diterimanya sehari sebelum tarikh pegawai itu dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain itu.

Maklumat perjawatan
15. (1) Dalam tiap-tiap urusan pengambilan, Ketua Jabatan hendaklah memaklumkan Suruhanjaya maklumat perjawatan seperti yang berikut:
(a) jumlah jawatan kosong yang perlu diisi;
(b) jumlah calon simpanan yang dikehendaki;
(c) syarat khas jika dikehendaki; dan
(d) perihal tugas dan tanggungjawab bagi jawatan kosong itu.

(2) Jika kelayakan atau apa-apa syarat lain dalam skim perkhidmatan bagi jawatan kosong itu perlu dipinda bagi urusan pengambilan itu, Ketua Jabatan hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebelum memaklumkan Suruhanjaya sebagaimana yang dikehendaki oleh subperaturan (1).

Kelulusan setaraf
16. Jika ada keraguan dalam mana-mana skim perkhidmatan atau iklan kekosongan tentang maksud kelulusan yang setaraf, maka perkara itu hendaklah dirujuk kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk penentuan.

Permohonan daripada pegawai yang sedang berkhidmat
17. Permohonan daripada pegawai yang sedang berkhidmat hendaklah dikemukakan kepada Suruhanjaya melalui Ketua Jabatan yang hendaklah menghantarkan permohonan itu kepada Suruhanjaya bersama dengan maklumat perkhidmatan yang dikehendaki dan ulasan Ketua Jabatan sama ada Ketua Jabatan itu menyokong atau tidak permohonan itu.

Tawaran pelantikan oleh Suruhanjaya
18. (1) Suruhanjaya hendaklah membuat tawaran pelantikan kepada calon yang berjaya melalui Ketua Jabatan dan hendaklah juga memaklumkan calon yang tidak berjaya.

(2) Suruhanjaya boleh mengarahkan Ketua Jabatan supaya membuat tawaran pelantikan kepada calon yang berjaya bagi pihak Suruhanjaya, dan Ketua Jabatan yang telah diarahkan sedemikian hendaklah menghantarkan kepada Suruhanjaya suatu salinan surat tawaran pelantikan yang telah dikeluarkan oleh Ketua Jabatan itu.

(3) Tiap-tiap surat tawaran pelantikan hendaklah menyatakan apa-apa maklumat perkhidmatan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya.
Pemeriksaan kesihatan dan akuan berkanun
19. (1) Tiap-tiap calon yang akan dilantik ke dalam perkhidmatan awam hendaklah mematuhi syarat yang berikut:

(a) calon itu hendaklah diperiksa dan diperakui sihat untuk berkhidmat oleh pengamal perubatan berdaftar;
(b) calon itu hendaklah membuat suatu akuan berkanun di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 [Akta 13] bahawa dia—

(i) tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah;
(ii) tidak pernah dibuang kerja;
(iii) bukannya penagih dadah;
(iv) tidak memiliki kewarganegaraan asing; dan
(v) bukan seorang bankrap.

(c) calon itu hendaklah menandatangani Surat Aku Janji sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama bahawa calon itu akan mematuhi Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993

"[P.U. (A) 395/1993],
Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa sepanjang perkhidmatan calon itu dalam Kerajaan. "

(2) Suruhanjaya boleh membatalkan tawaran pelantikan jika calon itu didapati tidak sihat setelah diperiksa mengikut perenggan (1)(a) atau tidak mematuhi mana-mana syarat yang disebut dalam perenggan (1)(b) dan (c).

(3) Bagi maksud subperaturan (2), mana-mana calon yang telah mula berkhidmat boleh dibayar apa-apa emolumen bagi tempoh perkhidmatannya.

(4) Seseorang pegawai yang sedang berkhidmat yang telah mematuhi syarat subperaturan (1) boleh dikehendaki mematuhi syarat itu semula apabila dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain.

(5) Bagi maksud pelantikan di bawah subperaturan 6(2), syarat dalam perenggan (1)(b)(iv) adalah tidak terpakai bagi pegawai itu.

Surat setuju terima
20. Ketua Jabatan hendaklah menghantar kepada Suruhanjaya surat setuju terima tawaran pelantikan daripada calon berserta dengan perakuan oleh pengamal perubatan berdaftar, akuan berkanun dan Surat Aku Janji yang dikehendaki di bawah peruntukan perenggan 19(1)(a), (b) dan (c), masing-masingnya, dan hendaklah memaklumkan Suruhanjaya tarikh calon itu melaporkan diri untuk bertugas.

BAHAGIAN IV : TARIKH PELANTIKAN, GAJI PERMULAANDAN PERGERAKAN GAJI TAHUNAN

Tarikh pelantikan
21. Tarikh pelantikan seseorang pegawai ke dalam perkhidmatan awam ialah tarikh pegawai itu melaporkan diri untuk bertugas melainkan ditentukan selainnya oleh Suruhanjaya.

Tarikh pelantikan tetap bagi pegawai sementara
22. Jika seseorang pegawai sementara yang mematuhi semua syarat yang dinyatakan bagi mana-mana skim perkhidmatan dilantik untuk mengisi mana-mana jawatan tetap yang kosong dalam skim perkhidmatan itu, tarikh pelantikan pegawai itu ke dalam jawatan tetap itu adalah pada tarikh Suruhanjaya bermesyuarat dan meluluskan pelantikan tetap itu.

Penetapan gaji permulaan
23. (1) Suruhanjaya hendaklah menentukan gaji permulaan seseorang pegawai.

(2) Jika seseorang pegawai yang akan dilantik bagi kali pertama memiliki pengalaman yang relevan dengan jawatan yang akan disandangnya, pegawai itu boleh diberikan gaji permulaan yang lebih tinggi berdasarkan satu pergerakan gaji biasa bagi tiap-tiap genap satu tahun pengalaman yang relevan itu.

(3) Pengalaman yang dianggap relevan bagi seseorang pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional ialah pengalaman yang diperoleh selepas pegawai itu mendapat kelayakan profesional atau akademik sebagaimana yang ditentukan dalam skim perkhidmatan yang berkenaan.

(4) Subperaturan (2) dan (3) hendaklah juga terpakai—
(a) bagi menentukan gaji permulaan seseorang pegawai yang belum disahkan yang kemudiannya dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain; dan
(b) bagi menentukan gaji permulaan seseorang pegawai yang dilantik semula mengikut peraturan 9.

(5) Jika seseorang pegawai yang telah disahkan kemudiannya dilantik ke dalam skim perkhidmatan yang lain, gaji permulaan pegawai itu hendaklah pada suatu mata gaji yang lebih tinggi sebagaimana yang hendaklah ditentukan oleh Suruhanjaya.

Gaji permulaan bagi kes khas
24. Walau apa pun peraturan 23, Suruhanjaya boleh menentukan bahawa gaji permulaan bagi seseorang calon atau pegawai yang dilantik adalah pada mana-mana mata gaji bagi suatu jawatan tertentu setelah mengambil kira—
(a) kelayakan khas atau bakat calon atau pegawai yang dilantik itu; atau
(b) hal keadaan khas yang berhubungan dengan pelantikan calon atau pegawai yang dilantik itu.

Pergerakan gaji tahunan
25. (1) Tarikh pergerakan gaji tahunan seseorang pegawai tetap dan sementara hendaklah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua. (2) Tarikh pergerakan gaji tahunan seseorang pegawai dalam peminjaman atau pertukaran sementara hendaklah sebagaimana yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

(3) Pergerakan gaji tahunan seseorang pegawai hendaklah berasaskan pencapaian kerja tahunan pegawai itu atau apa-apa syarat lain yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa.

BAHAGIAN V: TEMPOH PERCUBAAN, PENGESAHAN DAN PELANJUTAN TEMPOH PERCUBAAN

Tempoh percubaan
26. (1) Seseorang pegawai yang dilantik ke dalam perkhidmatan awam dikehendaki berkhidmat dalam percubaan bagi tempoh satu hingga tiga tahun.

(2) Walau apa pun subperaturan (1), Suruhanjaya boleh, dalam hal keadaan khas, memendekkan tempoh percubaan seseorang pegawai atau mengecualikan seseorang pegawai daripada tempoh percubaan.

Syarat pengesahan
27. (1) Seseorang pegawai dalam percubaan yang telah memenuhi semua syarat yang dinyatakan dalam skim perkhidmatan atau apa-apa syarat lain yang boleh ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa, adalah layak bagi pengesahan dalam perkhidmatannya.

(2) Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan kepada Suruhanjaya perakuan dalam borang yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga bagi pengesahan seseorang pegawai di bawah kawalannya dalam tempoh satu bulan dari tarikh pegawai itu didapati layak bagi pengesahan.

(3) Jika Ketua Jabatan gagal mengemukakan perakuan bagi pengesahan seseorang pegawai mengikut subperaturan (2), pegawai itu boleh memohon kepada Suruhanjaya untuk disahkan dan suatu salinan permohonan itu hendaklah dihantar kepada Ketua Jabatan.

(4) Setelah menerima permohonan di bawah subperaturan (3), Suruhanjaya boleh menjalankan suatu siasatan dan apabila selesai siasatan itu mengesahkan pegawai itu jika Suruhanjaya mendapati pegawai itu layak bagi pengesahan.

Pelanjutan tempoh percubaan
28. (1) Suruhanjaya boleh melanjutkan tempoh percubaan seseorang pegawai sama ada dengan atau tanpa denda.

(2) Seseorang pegawai yang tidak disahkan dalam perkhidmatannya dalam tempoh yang ditetapkan hendaklah mengemukakan suatu permohonan bagi pelanjutan tempoh percubaannya kepada Suruhanjaya melalui Ketua Jabatannya dalam tempoh tiga bulan selepas tamat tempoh percubaannya.

(3) Ketua Jabatan hendaklah dengan segera memperakukan permohonan pelanjutan tempoh percubaan pegawai itu yang dibuat mengikut subperaturan (2) kepada Suruhanjaya.

(4) Bagi maksud subperaturan (3), Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan permohonan itu dalam borang yang dinyatakan dalam Jadual Keempat, menyatakan butir-butir seperti yang berikut:

(a) sebab pegawai itu tidak disahkan;
(b) syor Ketua Jabatan sama ada pelanjutan tempoh percubaan patut diberi atau tidak, dan jika patut diberi, sama ada dengan atau tanpa denda;
(c) maklumat perkhidmatan pegawai yang dikemas kini; dan
(d) senarai peperiksaan, jika ada, yang telah diduduki oleh pegawai itu, tarikh dan keputusan peperiksaan itu.

(5) Suruhanjaya akan hanya meluluskan pelanjutan tempoh percubaan yang diperakukan mengikut subperaturan (3) dan (4) jika ada alasan yang munasabah bagi mempercayai bahawa pegawai itu berupaya mematuhi syarat-syarat bagi pengesahan semasa tempoh pelanjutan yang dipohon itu dan Ketua Jabatan mengesyorkan bahawa tempoh percubaan pegawai itu patut dilanjutkan.

(6) Tempoh percubaan seseorang pegawai hanya boleh dilanjutkan tidak melebihi dua tahun, tetapi Suruhanjaya boleh dalam hal keadaan khas melanjutkan tempoh percubaan melebihi dua tahun jika difikirkannya patut.

(7) Apa-apa keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya berkenaan dengan permohonan pelanjutan tempoh percubaan seseorang pegawai hendaklah disampaikan kepada pegawai itu oleh Suruhanjaya dalam tempoh satu bulan dari tarikh keputusan itu.

Tarikh pengesahan
29. (1) Tarikh pengesahan dalam perkhidmatan seseorang pegawai yang telah berjaya menyelesaikan tempoh percubaan asalnya atau yang dilanjutkan adalah pada hari pertama selepas tarikh pegawai itu mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

(2) Seseorang pegawai hendaklah dianggap berada dalam percubaan sehingga pegawai itu telah disahkan oleh Suruhanjaya, walaupun pegawai itu telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan bagi pengesahan itu.

Kesan pelanjutan tempoh percubaan dengan denda
30. Seseorang pegawai yang tempoh percubaannya dilanjutkan dengan denda hendaklah—

(a) hilang kekananannya bagi suatu tempoh yang sama dengan tempoh pelanjutan itu;
(b) tidak layak mendapat apa-apa pergerakan gaji tahunan semasa tempoh pelanjutan percubaannya dengan denda; dan
(c) diubah tarikh pergerakan gajinya mengikut tarikh pengesahannya berkuat kuasa.

Pemberitahuan tentang pengesahan
31. Suruhanjaya hendaklah dengan segera memberitahu seseorang pegawai tentang pengesahannya melalui Ketua Jabatan pegawai itu.
BAHAGIAN VI : KEKANANAN

Kaedah penetapan kekananan
32. (1) Kekananan seseorang pegawai ditentukan seperti yang berikut:

(b) bagi seseorang pegawai dalam gred kenaikan pangkat, mengikut tarikh pegawai itu menyandang gred itu secara hakiki.

(2) Walau apa pun subperaturan (1), jika dua atau lebih pegawai dilantik secara tetap atau dinaikkan pangkat ke gred yang sama dalam skim perkhidmatan yang sama pada tarikh yang sama, kekananan pegawai itu adalah disifatkan sebagai sama.

Kekananan pegawai yang kembali ke dalam skim perkhidmatan terdahulunya
33. Seseorang pegawai yang kembali ke dalam skim perkhidmatan terdahulunya mengikut subperaturan 11(1) hilang kekananannya selama tempoh pegawai itu berada di luar skim perkhidmatan terdahulunya.

Kekananan pegawai yang diberikan cuti tanpa gaji
34. Seseorang pegawai yang diberikan cuti tanpa gaji, selain cuti belajar tanpa gaji, hilang kekananannya selama tempoh pegawai itu bercuti tanpa gaji itu.

BAHAGIAN VII : OPSYEN BAGI SKIM KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA DANPEMBERIAN TARAF BERPENCEN

Opsyen bagi Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
35. Seseorang pegawai yang berhasrat untuk memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 6A Akta Pencen 1980 [Akta 227] hendaklah melaksanakan opsyennya dengan menggunakan borang yang dinyatakan dalam Jadual Kelima.

Pemberian taraf berpencen
36. (1) Seseorang pegawai yang tidak memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mengikut peraturan 35 layak diberi taraf berpencen mengikut undang- undang pencen.
(2) Apabila seseorang pegawai menjadi layak untuk diberi taraf berpencen, Ketua Jabatan pegawai itu hendaklah mengemukakan perakuannya, dalam borang yang dinyatakan dalam Jadual Keenam, kepada Suruhanjaya, berserta dengan borang yang dinyatakan dalam Jadual Kelima yang telah ditandatangani sewajarnya oleh pegawai itu.

BAHAGIAN VIII : KENAIKAN PANGKAT, PEMANGKUAN DAN PENANGGUNGAN KERJA

Asas kenaikan pangkat
37. (1) Kenaikan pangkat seseorang pegawai adalah berasaskan merit.

(2) Dalam mempertimbangkan seseorang pegawai bagi kenaikan pangkat, Lembaga Kenaikan Pangkat hendaklah mengambil kira—

(a) kecekapan dan prestasi kerja pegawai itu;
(b) kelayakan, pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pegawai itu;
(c) sifat-sifat peribadi, termasuk kesesuaiannya dengan jawatan kenaikan pangkat itu, keutuhan, potensi dan kepimpinan pegawai itu; dan
(d) kegiatan luar dan sumbangan pegawai itu kepada negara dan masyarakat.

(3) Sebagai tambahan kepada perkara yang dinyatakan dalam subperaturan (2), Lembaga Kenaikan Pangkat boleh mengambil kira aspek lain yang difikirkannya relevan.
(4) Walau apa pun subperaturan (1), jika dua atau lebih pegawai diputuskan sama dari segi merit, kelayakan akademik atau pengalaman kerja yang berkaitan dengan jawatan kenaikan pangkat di samping kekananan pegawai itu hendaklah juga dijadikan asas bagi pemilihan dan diberi pertimbangan.

Syarat kenaikan pangkat
38. Walau apa pun peruntukan peraturan 37, seseorang pegawai hanya boleh dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat jika pegawai itu telah mematuhi semua syarat yang dinyatakan dalam skim perkhidmatannya dan jika terdapat kekosongan memperuntukkan selainnya.

Kenaikan pangkat pegawai yang dalam peminjaman atau pertukaran sementara
39. Jika seseorang pegawai dalam peminjaman mengikut subperaturan 12(1) atau pertukaran sementara mengikut peraturan 13 dan telah mematuhi semua syarat bagi kenaikan pangkat, pegawai itu hendaklah dipertimbangkan dalam apa-apa urusan kenaikan pangkat yang dibuat yang berhubungan dengan skim perkhidmatan hakikinya.

Pengiklanan kekosongan jawatan kenaikan pangkat
40. (1) Jika Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan berpendapat bahawa sesuatu kekosongan jawatan kenaikan pangkat hendaklah diisi dengan menjemput pemohon yang berkelayakan dari suatu perkhidmatan tertentu di bawah jabatan tertentu sahaja, Ketua Jabatan hendaklah mengiklankan kekosongan itu melalui pekeliling jabatan.

(2) Jika terdapat suatu kekosongan jawatan kenaikan pangkat yang tidak menghendaki suatu pengiklanan, Ketua Jabatan hendaklah membuat perakuan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan bagi pengisian kekosongan itu dengan memperakukan pegawai yang layak, mengikut skim perkhidmatan, bagi pertimbangan.

(3) Bagi maksud subperaturan (2), Ketua Jabatan boleh memperakukan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat apa-apa syarat tambahan yang akan dikenakan agar memperoleh suatu bilangan yang lebih munasabah akan pegawai yang berkelayakan bersesuaian.

Tarikh kenaikan pangkat
41. (1) Tertakluk kepada subperaturan (2) dan (3), tarikh kenaikan pangkat seseorang pegawai ialah tarikh yang ditentukan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan.

(2) Tarikh kenaikan pangkat ke gred tidak boleh lebih awal daripada tarikh kekosongan atau tarikh pegawai itu layak dinaikkan pangkat mengikut skim perkhidmatannya, yang mana terkemudian.

(3) Bagi kenaikan pangkat ke jawatan, kecuali jika skim perkhidmatan tidak mensyaratkan sesuatu kenaikan pangkat adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan, tarikh kenaikan pangkat tidak boleh lebih awal daripada tarikh pegawai itu diluluskan memangku jawatan itu atau pada tarikh jawatan hakiki itu kosong, yang mana terkemudian.

(4) Bagi maksud peraturan ini—

Penetapan gaji kenaikan pangkat
42. (1) Gaji yang diterima oleh seseorang pegawai yang dinaikkan pangkat hendaklah lebih tinggi daripada gaji akhir yang diterima dalam gred terdahulu.

(2) Bagi maksud subperaturan (1)—
(a) jika gaji akhir dalam gred terdahulu adalah kurang daripada gaji minimum dalam gred kenaikan pangkat, dan perbezaan itu adalah sama dengan atau lebih daripada satu pergerakan gaji biasa dalam gred terdahulu, pegawai itu hendaklah dibayar gaji minimum, dalam gred kenaikan pangkat itu;

(b) jika gaji akhir dalam gred terdahulu kurang daripada gaji minimum dalam gred kenaikan pangkat tetapi perbezaannya adalah kurang daripada satu pergerakan gaji biasa dalam gred terdahulu, pegawai itu hendaklah diletakkan pada mata gaji dalam gred kenaikan pangkat selepas mata gaji minimum, supaya perbezaan antara gaji akhir dalam gred terdahulu dan gaji barunya dalam gred kenaikan pangkat adalah sama atau lebih daripada satu pergerakan gaji biasa dalam gred terdahulunya;

(c) jika gaji akhir dalam gred terdahulu sama atau lebih tinggi daripada gaji minimum dalam gred kenaikan pangkat, pegawai itu hendaklah dibayar gaji pada satu mata gaji yang lebih tinggi berhampiran dengan gaji akhir yang diterimanya dalam gred terdahulu dan perbezaan gaji antara gaji kenaikan pangkat dan gaji dalam gred terdahulu hendaklah tidak kurang daripada satu pergerakan gaji biasa dalam gred terdahulu itu.

(3) Jika seseorang pegawai dinaikkan pangkat pada tarikh yang sama dengan tarikh pergerakan gaji pegawai itu dalam jawatan terdahulunya, pergerakan gaji jawatan terdahulunya, jika ada, hendaklah diberi terlebih dahulu, sebelum menentukan gaji permulaan dalam jawatan kenaikan pangkat.

Tarikh pergerakan gaji jawatan kenaikan pangkat
43. Tarikh pergerakan gaji tahunan seseorang pegawai yang dinaikkan pangkat hendaklah ditentukan mengikut tarikh kenaikan pangkatnya berkuat kuasa mengikut subperaturan 25(1).

Pemangkuan dan penanggungan kerja
44. Seseorang pegawai, apabila dikehendaki demi kepentingan perkhidmatan, boleh, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa yang berkenaan, diarah memangku atau menanggung kerja tugas jawatan lain.

Elaun pemangkuan dan penanggungan kerja
45. Seseorang pegawai yang telah diluluskan memangku atau menanggung kerja tugas jawatan lain layak dibayar elaun pemangkuan atau elaun penanggungan kerja mengikut peraturan yang sedang berkuat kuasa.

BAHAGIAN IX : PENAMATAN PERKHIDMATAN DAN PELETAKAN JAWATAN

Penamatan perkhidmatan pegawai yang belum disahkan
46. Yang di-Pertuan Agong boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pegawai yang belum disahkan dalam perkhidmatannya jika pegawai itu telah—

(a) menyembunyikan apa-apa maklumat tentang kesihatannya dalam borang pemeriksaan perubatan;
(b) membuat akuan palsu dalam akuan berkanun sebagaimana yang dikehendaki oleh perenggan 19(1)(b);
(c) tidak mematuhi kehendak dalam perenggan 19(1)(c);
(d) memalsukan apa-apa dokumen yang berhubungan dengan pelantikannya; atau
(e) gagal tapisan keselamatan.

Penamatan perkhidmatan pegawai yang gagal disahkan
47. (1) Tertakluk kepada subperaturan (2), Yang di-Pertuan Agong boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pegawai dalam percubaan pada pelantikan pertama yang telah gagal untuk disahkan dalam perkhidmatannya semasa tempoh percubaan yang ditetapkan, sama ada tempoh percubaan asalnya atau yang dilanjutkan.

(2) Seseorang pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatan dalam skim perkhidmatan terdahulu dan kemudiannya dilantik ke dalam skim perkhidmatan baru tetapi gagal disahkan, boleh dibersarakan demi kepentingan awam di bawah undang-undang pencen, jika pegawai itu telah dimasukkan ke dalam perjawatan berpencen dalam skim perkhidmatan terdahulu itu.

(3) Bagi maksud peraturan ini, perkhidmatan seseorang pegawai selain yang disebut dalam subperaturan (1) dan (2) hendaklah ditamatkan sekiranya pegawai itu tidak dapat dikembalikan ke dalam skim perkhidmatan terdahulunya mengikut subperaturan 11(1).

(4) Bagi maksud subperaturan (1), “pelantikan pertama” ertinya pelantikan kali pertama ke dalam perkhidmatan awam atau pelantikan semula seseorang pegawai mengikut peraturan 7, 8 dan 9.

Kuasa menamatkan perkhidmatan
48. Kuasa yang boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pegawai di bawah peraturan 46 dan 47 hendaklah tidak rendah daripada pihak berkuasa yang melantik atau lembaga pegawai yang telah diwakilkan dengan kuasa oleh Suruhanjaya di bawah Fasal (6) Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.

Peluang untuk menunjukkan sebab
49. Perkhidmatan seseorang pegawai tidak boleh ditamatkan di bawah peraturan 46 atau 47 melainkan jika pegawai itu telah diberi peluang untuk menunjukkan sebab, dalam tempoh tidak kurang daripada empat belas hari dari tarikh penerimaan notis untuk menunjukkan sebab, mengapa perkhidmatannya tidak boleh ditamatkan.

Notis penamatan perkhidmatan
50. (1) Yang di-Pertuan Agong boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pegawai selepas memberinya suatu notis bertulis atau membayarnya sebulan gaji sebagai ganti notis jika—

(a) pegawai itu tidak memberi jawapan kepada notis untuk menunjukkan sebab di bawah peraturan 49 dalam tempoh yang ditetapkan; dan
(b) Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa tiada sebab yang munasabah wujud untuk tidak menamatkan perkhidmatan pegawai itu.

(2) Bagi maksud peraturan 46 dan 47, tempoh notis bertulis yang dinyatakan dalam subperaturan (1) adalah tiga puluh hari.

(3) Walau apa pun subperaturan (2), bagi pegawai yang dilantik selain pelantikan tetap, tempoh notis bertulis itu hendaklah—

(a) bagi seseorang pegawai yang dilantik selain pelantikan tetap, mengikut syarat pelantikan pegawai itu, atau jika tempoh itu tidak diperuntukkan dalam syarat pelantikannya, tiga puluh hari sebelum peletakan jawatan itu berkuat kuasa atau sebulan gaji sebagai ganti notis;

(b) bagi seseorang pegawai dalam percubaan, tiga puluh hari sebelum peletakan jawatan itu berkuat kuasa atau sebulan gaji sebagai ganti notis; dan

(c) bagi seseorang pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatannya, sembilan puluh hari sebelum peletakan jawatan itu berkuat kuasa atau sebulan gaji sebagai ganti notis.

(2) Notis peletakan jawatan itu hendaklah dihantar oleh pegawai itu kepada Ketua Perkhidmatan melalui Ketua Jabatan dan Ketua Perkhidmatan hendaklah merekodkan dan memaklumkan Suruhanjaya yang berkenaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam akan peletakan jawatan pegawai itu.

(3) Ketua Perkhidmatan hendaklah kemudiannya menghantarkan surat akuan terima kepada pegawai itu melalui Ketua Jabatan apabila menerima notis peletakan jawatan itu.

Kuat kuasa notis peletakan jawatan
52. (1) Setiap peletakan jawatan hendaklah berkuat kuasa pada hari yang berikutnya selepas hari yang notis diberikan oleh pegawai itu tamat.

(2) Peletakan jawatan yang telah berkuat kuasa tidak boleh ditarik balik.

Pemendekan notis peletakan jawatan
53. Ketua Jabatan boleh membenarkan tempoh notis peletakan jawatan mana-mana pegawai dipendekkan atas mana-mana sebab yang berikut:

(a) pegawai itu menyandang mana-mana jawatan dalam sesuatu pihak berkuasa berkanun, pihak berkuasa tempatan atau agensi lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
(b) pegawai atau pasangan, anak atau ibu bapa pegawai itu menghidapi masalah kesihatan;
(c) pegawai itu menghadiri kursus atau latihan yang diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan; atau
(d) apa-apa sebab lain yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Peletakan jawatan tidak perlu
54. Seseorang pegawai sesuatu perkhidmatan awam, sama ada bertaraf tetap atau sementara, yang dilantik ke dalam perkhidmatan lain dalam perkhidmatan awam tidak dikehendaki meletakkan jawatan, dengan syarat permohonan pegawai itu untuk dilantik ke dalam perkhidmatan yang lain itu telah dikemukakan mengikut peraturan 17 dan disokong oleh Ketua Jabatannya.

BAHAGIAN X : PELANTIKAN PEGAWAI KONTRAK

Pelantikan pegawai kontrak
55. Walau apa pun Bahagian II, Suruhanjaya boleh melantik seseorang pegawai secara kontrak.
Penamatan perkhidmatan dan peletakan jawatan pegawai kontrak

56. Subperaturan 50(3) dan perenggan 51(1)(a) hendaklah terpakai bagi penamatan perkhidmatan dan peletakan jawatan seseorang pegawai kontrak, masing-masingnya.

BAHAGIAN XI : UMUR

Umur dan tarikh lahir
57. (1) Jika sesuatu skim perkhidmatan menetapkan keperluan umur, maka umur yang dimaksudkan itu ialah umur mengikut kalendar Gregorian.

(2) Bagi maksud subperaturan (1), umur seseorang itu ditentukan mengikut peruntukan yang berikut:
(a) jika tarikh lahir sebenar diketahui, umur hendaklah mengikut tarikh itu;
(b) jika hanya bulan yang diketahui, hari terakhir dalam bulan itu hendaklah dianggap sebagai tarikh lahir;
(c) jika hanya tahun yang diketahui, 31 Disember tahun itu hendaklah dianggap sebagai tarikh lahir;
(d) jika tarikh lahir ialah 29 Februari, maka ulang tahun tarikh lahir orang itu bagi tahun yang tidak mempunyai tarikh 29 Februari hendaklah dianggap pada 1 Mac.

Umur persaraan58.
Umur persaraan bagi seseorang pegawai adalah seperti yang ditetapkan oleh undang-undang pencen.

BAHAGIAN XII : PELBAGAI

Kuasa Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
59. (1) Kecuali kuasa yang diwakilkan kepadanya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam boleh, dari semasa ke semasa, secara bertulis, mewakilkan kuasanya di bawah Peraturan-Peraturan ini kepada mana-mana pegawai.

(2) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam boleh, dari semasa ke semasa, jika perlu, mengeluarkan panduan untuk menjelaskan mana-mana peruntukan dalam Peraturan-Peraturan ini.

Kecualian dan peralihan
60. (1) Tiada apa-apa pun dalam Peraturan-Peraturan ini boleh menyentuh kesahihan dan kuat kuasa apa-apa keputusan yang dibuat berkenaan dengan apa-apa perkara di bawah mana-mana Perintah Am terdahulu dan keputusan itu hendaklah terus mempunyai kuat kuasa dan kesan sepenuhnya walau apa pun apa-apa yang tidak konsisten atau bertentangan dengan apa-apa peruntukan dalam Peraturan-Peraturan ini.

(2) Semua perkara dan prosiding yang masih belum selesai di hadapan mana-mana Suruhanjaya sebelum berkuat kuasanya Peraturan-Peraturan ini hendaklah terus diuruskan mengikut Perintah-Perintah Am Bab A (Lantikan dan Kenaikan Pangkat) 1973 seolah-olah Perintah-Perintah Am itu tidak dibatalkan.

(3) Apa-apa panduan yang telah dikeluarkan sebelum berkuat kuasanya Peraturan-Peraturan ini hendaklah terus terpakai selagi ia tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan dalam Peraturan-Peraturan ini.

Pembatalan
61. Perintah-Perintah Am Bab A (Lantikan dan Kenaikan Pangkat) 1973 adalah dimansuhkan kecuali Perintah Am 45 dan 49 yang hendaklah terus terpakai bagi pegawai yang berada dalam Sistem Saraan Jawatankuasa Khas Kabinet 1976.


LAMPIRAN: (rujukan)

1. Surat aku janji:

JADUAL PERTAMA[perenggan 19(1)(c)]SURAT AKU JANJI
Saya,.....................................No. Kad Pengenalan .......................................... beralamat di..................................... dengan sesungguhnya berjanji bahawa saya akan mematuhi peruntukan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling dan surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan dan dikuatkuasakan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatan saya dengan Kerajaan. Maka dengan itu saya berjanji, sebagaimana yang dikehendaki oleh peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, bahawa saya—

(i) akan sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan Kerajaan;

(ii) akan sentiasa melaksanakan tugas saya sebagai pegawai awam dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab;

(iii) tidak akan membelakangkan tugas awam demi kepentingan peribadi saya;

(iv) tidak akan berkelakuan dengan cara yang mungkin menyebabkan kepentingan peribadi saya bercanggah dengan tugas awam saya;

(v) tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh menimbulkan syak yang munasabah bahawa saya telah membiarkan kepentingan peribadi saya bercanggah dengan tugas rasmi saya sehingga menjejaskan kegunaan saya sebagai pegawai awam;

(vi) tidak akan menggunakan kedudukan saya sebagai pegawai awam bagi faedah diri saya sendiri;

(vii) tidak akan berkelakuan dengan cara yang boleh memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam;

(viii) tidak akan membawa atau cuba membawa sebarang bentuk pengaruh atau tekanan luar untuk menyokong atau memajukan tuntutan saya atau tuntutan pegawai awam lain berhubung dengan perkhidmatan awam; dan

(ix) tidak akan ingkar perintah atau berkelakuan dengan cara yang boleh ditafsirkan sebagai ingkar perintah.

Saya sesungguhnya faham bahawa jika saya disabitkan kerana telah melanggar Aku Janji ini, saya boleh dikenakan tindakan tatatertib mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

...................................(Tandatangan Pegawai)
...................................(Tandatangan Pegawai)

Di hadapan saya,
.....................................(Tandatangan Ketua Jabatan)
......................................................................(Nama dan No. Kad Pengenalan Ketua Jabatan)

........................ (Tarikh)
...................................(Cap Rasmi Jabatan)


2. Jadual pegerakan gaji tahunan:

JADUAL KEDUAPERGERAKAN GAJI TAHUNAN(peraturan 25)

Tarikh pelantikan
Tarikh pergerakan gaji

1 Januari hingga 31 Mac
1 Januari tahun yang berikutnya

1 April hingga 30 Jun
1 April tahun yang berikutnya

1 Julai hingga 30 September
1 Julai tahun yang berikutnya

1 Oktober hingga 31 Disember
1 Oktober tahun yang berikutnya

3. Opsyen KWSP atau Pencen:

JADUAL KELIMA
BORANG OPSYEN BAGI SKIM KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA MENGIKUT SUBSEKSYEN 6A(1)AKTA PENCEN 1980(peraturan 35)
Saya ............................ No. Kad Pengenalan ............................ yang dilantik sebagai............................dalam perkhidmatan ............................ pada ............................ (tarikh) dengan ini bersetuju / tidak bersetuju* memilih SKIM KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA.
2. Saya faham bahawa jika saya tidak memilih SKIM KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA, atau mengembalikan borang ini tanpa menyatakan apa-apa pilihan atau menyatakan apa-apa syarat kepada pilihan atau tidak mengembalikan borang opsyen ini mengikut peraturan yang ditetapkan, maka saya hendaklah dimasukkan ke dalam skim berpencen mengikut Akta Pencen 1980.
Sekian, terima kasih.
Yang benar,

...................................(Tandatangan Pegawai)

Tarikh:............................................

Disaksikan oleh : .....................................
Nama: :.................................
No.Kad Pengenalan: ................

(Tandatangan)

Tarikh.......................
Jawatan: .................................

*potong mana yang tidak berkenaan


JADUAL KELIMA PERAKUAN PEMBERIAN TARAF BERPENCEN(peraturan 36)
Saya dengan ini mengesahkan bahawa ................................. No. Kad Pengenalan .................................telah disahkan dalam jawatannya yang sekarang dan telah genap tempoh selama tidak kurang daripada .......... tahun perkhidmatan yang boleh dimasuk kira dan saya dengan ini memperakukan pegawai ini untuk diberi taraf berpencen.

Tandatangan Ketua Jabatan : ...........................................................................................................
Nama Ketua Jabatan : ...................................................................................................................
Kementerian/Jabatan : ...................................................................................................................
Tarikh: ...........................................................
Dibuat 14 April 2005[JPA(S)223/8/1;PN(PU2 )76/1/V]

Dengan Titah Perintah

TAN SRI SAMSUDIN BIN OSMANSetiausaha Jemaah Menteri
............

No comments:

Post a Comment