PERINTAH-PERINTAH Am yang berikut telah dikeluarkan di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (2) Perkara 132 dalam Perlembagaan.
[Berkuatkuasa mulai dari 1hb Februari, 1974]
Tafsiran
1. Dalam bab ini:
(i) "Keluarga pegawai" bermakna bagi pegawai lelaki, isteri dan anak-anaknya; dan bagi pegawai perempuan, suami dan anak-anaknya.
(ii) "Ketua Jabatan" termasuk juga Ketua Setiausaha kepada Kementerian dan Ketua Pejabat tempatan, yayasan atau cawangan kecil sesebuah Jabatan.
(iii) "Pegawai Perumahan" bermakna pegawai yang dilantik untuk menguntukkan rumah-rumah kediaman Kerajaan atau yang disewa oleh Kerajaan dan termasuk seorang Ketua Jabatan bagi rumah-rumah khas Jabatan atau lain-lain pegawai yang ditugaskan menguntukkan rumah Kerajaan.
(iv) "Rumah biasa Kerajaan" bermakna mana-mana rumah yang lain daripada rumah khas Jabatan atau rumah khas jawatan.
(v) "Rumah khas Jabatan" bermakna sesebuah rumah yang didirikan khas oleh Jabatan untuk kediaman seseorang pegawainya yang mustahak berada setiap masa dekat dengan tempat bekerja atau di satu tempat tertentu dalam daerah tempat ia bertugas.
(vi) "Rumah khas jawatan" bermakna sebarang rumah yang dikhaskan untuk seseorang pemegang jawatan tertentu seperti yang ditetapkan dalam bab ini atau oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa.
I. RUMAH-RUMAH KEDIAMAN
Kerajaan tiada menyediakan rumah
2. (a) Kerajaan tiada bertanggungjawab untuk menyediakan rumah-rumah kediaman bagi pegawai-pegawainya melainkan sekadar yang dinyatakan dalam Perintah Am 3.
Ketua jabatan boleh arah pegawai pindah rumah
(b) Walau bagaimanapun di mana Kerajaan ada menyediakan rumah-rumah kediaman yang berhampiran dengan tempat bertugas pegawai-pegawai dengan tujuan supaya mereka tinggal di situ, atau Kerajaan mendirikan rumah-rumah khas untuk sesebuah Jabatan, maka Ketua Jabatan boleh menghendaki seseorang pegawai itu tinggal di rumah tersebut jika ini adalah untuk kepentingan perkhidmatan.
Pegawai yang boleh disediakan rumah
3. (a) Kerajaan, atas budibicaranya sendiri dan dengan syarat ada rumah-rumah kediaman yang kosong, boleh menguntukkan rumah-rumah kediaman bagi pegawai-pegawai yang berikut sahaja:
(i) Rumah Khas Jawatan
(1) Pegawai-pegawai Tingkatan Utama termasuk Ketua Setiausaha Negara; dan
(2) Pegawai-pegawai lain yang disediakan rumah-rumah khas kerana jawatan mereka.
(ii) Rumah Khas Jabatan
Pegawai-pegawai yang dikehendaki tinggal berhampiran dengan tempat kerja mereka.
(iii) Rumah Biasa Kerajaan
Pegawai-pegawai yang ditempatkan bekerja di kawasan-kawasan yang terpencil di mana rumah-rumah persendirian yang sesuai untuk disewa tidak diperolehi.
(iv) Rumah Kediaman Luar negeri
Pegawai-pegawai yang ditempatkan bekerja di kedutaan-kedutaan atau pejabat-pejabat Kerajaan Malaysia di seberang laut.
Pegawai boleh menyewa rumah kerajaan
(b) Bagi pegawai-pegawai di (a) (iv) di atas, Kerajaan boleh memberi mereka sewaan yang berpatutan sebagai ganti menyediakan perumahan ataupun menyewakan rumah-rumah yang sesuai untuk kediaman mereka.
4. Di mana Kerajaan telah sedia ada mempunyai rumah-rumah kediaman yang kosong, pegawai-pegawai yang bekerja dalam kawasan tersebut adalah layak memohon untuk mendiami rumah-rumah tersebut mengikut peraturan dan syarat-syarat kelayakan seperti yang dibekalkan dalam bab ini dan Lampiran A.
Kerajaan berhak menguntuk rumah.(4).
5. (a) Walau apapun peruntukan lain dalam bab ini, Kerajaan berhak memperuntukkan sebarang rumah kediaman kepada mana-mana pegawai yang difikirkannya sesuai untuk mendapatkan rumah, atau menyuruh pegawai-pegawai berkongsi rumah.
Pegawai boleh diarah kosongkan rumah.
(b) Kerajaan atau Pegawai Perumahan boleh menghendaki seseorang itu mengosongkan sesebuah rumah Kerajaan untuk tujuan membaikinya atau lain-lain sebab yang munasabah dengan memberi tempoh satu bulan, tanpa bertanggungjawab memberi pegawai itu rumah lain sebagai gantinya.
Rumah yang diuntukkan boleh ditarik balik.
(c) Pegawai Perumahan berhak menarik balik mana-mana rumah yang telah diuntukkan kepada seseorang pegawai apabila pegawai itu tidak mengambil alih rumah tersebut dalam masa yang ditetapkan olehnya, yang biasanya tidak akan melebihi tempoh 30 hari. Sesebuah rumah yang telah ditarik balik itu boleh diuntukkan semula oleh Pegawai Perumahan kepada mana-mana pegawai lain yang telah memohon.
Sewa rumah.(21).
6. Seseorang pegawai yang dibenarkan mendiami sesebuah rumah Kerajaan atau sesebuah rumah yang disewakan khas untuknya akan dikehendaki membayar sewa mengikut kadar yang ditetapkan oleb Kerajaan dari semasa ke semasa melainkan jikalau ia telah dikecualikan daripada membayar sewa mengikut syarat-syarat perkhidmatannya.
II. TANGGUNGJAWAB PEGAWAI YANG MENDIAMIRUMAH KERAJAAN
Pegawai mesti patuh peraturan.
7. Seseorang pegawai yang mendiami sesebuah rumah Kerajaan atau sesebuah rumah yang disewakan khas untuknya oleh Kerajaan, akan dikehendaki mematuhi peraturan-peraturan dalam bab ini.
Meminda rumah dilarang
8. Pegawai-pegawai adalah dilarang membuat tambahan atau pindaan kepada mana-mana bahagian dalam atau luar rumah tanpa kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Kerja Raya tempatan. Mereka juga akan bertanggungjawab atas apa-apa kerosakan atau kekurangan kepada bangunan atau perabut-perabut di dalamnya yang bukan disebabkan oleh penggunaan yang sepatutnya.
Menyewakan rumah dilarang
9. Pegawai-pegawai adalah dilarang daripada menyewakan mana-mana bahagian rumah yang telah diuntukkan kepadanya. Selain daripada keluarga pegawai dan orang-orang gajinya, serta tetamu-tetarnu sementara, tidak ada orang lain yang boleh dibenarkan tinggal dalam rumah tersebut. Sesebuah rumah itu juga tidak boleh digunakan selain daripada tempat kediaman pegawai sendiri.
Larangan menternak binatang
10. Pegawai-pegawai adalah juga dilarang daripada mernelihara binatang-binatang ternakan, termasuk ayam itik, di mana-mana bahagian rumah, di bawahnya atau dalam kawasannya.
Tanggungjawab membersih kawasan
11. Adalah menjadi tanggungjawab tiap-tiap pegawai yang mendiami rurnah Kerajaan menjaga dengan sebaik-baiknya kebersihan dalam rumah dan juga dalam kawasan rumahnya, termasuk kerja-kerja memotong rumput dan membuang sampah sarap seperti tin-tin kosong, botol-botol dan lain-lain lagi.
Tanggungjawab melaporkan kerosakan
12. (a) Tiap-tiap pegawai adalah dikehendaki melapurkan kepada Jabatan Kerja Raya apa-apa kerosakan atau kekurangan tentang rumah yang didudukinya apabila sahaja kerosakan atau kekurangan itu berlaku atau diketahui. Lapuran ini hendaklah dibuat di atas borang permintaan J.K.R. yang berkenaan. Kegagalan pegawai melapurkan hal ini boleh mewajibkannya membayar sebahagian atau semua perbelanjaan membaiki atau mengganti yang diperlukan.
Pegawai kena bayar kerosakan yang disebabkannya
(b) Di mana kerosakan atau kekurangan di (a) atau ke atas perabut-perabut atau alat-alat perkakas Kerajaan telah disebabkan bukan oleh penggunaan yang berpatutan maka pegawai boleh dikehendaki membayar semua atau sebahagian daripada belanja membaiki atau mengganti seperti yang ditaksirkan oleh Pengarah Kerja Raya Negeri atau belanja sebenar mengikut kontrek.
Laporan memasuki rumah
13. (a) Seseorang pegawai yang telah diuntukkan sebuah rumah Kerajaan oleh Pegawai Perumahan hendaklah melapurkan perkara itu kepada Jabatan Kerja Raya tempatan dengan menyatakan tarikh ia bercadang hendak memasuki rumah tersebut. la akan dikehendaki menandatangani satu sijil akuan masuk rumah mengambil alih tanggungjawab atas segala barang-barang, perkakas-perkakas dan perabut-perabut dalam rumah tersebut seperti di Lampiran E.
Lapuran tarikh memasuki rumah kepada pegawai perumahan.
(b) Pegawai itu juga adalah dikehendaki melapurkan tarikh sebenar ia masuk ke rumah tersebut kepada Pegawai Perumahan yang akan memberitahu Ketua Pejabatnya supaya memotong sewa dari gajinya pada tiap-tiap bulan. Salinan-salinan pemberitahuan Pegawai Perumahan Perumahan itu hendaklah juga dihantar kepada Akauntan Negara dan Juru Odit Negara.
Laporan untuk mengosongkan rumah
14. (a) Seseorang pegawai yang akan berpindah dari rumab Kerajaan hendaklah melapurkan hal itu kepada Jabatan Kerja Raya tempatan dan juga Pegawai Perumahan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh ia bercadang hendak mengosongkan rurnah tersebut.
Pegawai mesti serah kunci dll.
(b) Pegawai itu juga akan dikehendaki menyerahkan semua kunci-kunci rumah tersebut kepada Jabatan Kerja Raya tempatan dan menandatangani satu sijil akuan keluar rumah seperti di Lampiran F.
III. KADAR SEWA, PEMBAYARANNYA DAN LAIN-LAINBAYARAN
Sewa mengikut gandaan sewa namaan.
15. (a) Tiap-tiap rumah Kerajaan, termasuk rumah-rumah yang disewa khas oleh Kerajaan di Malaysia atau di seberang laut, adalah diberi sewa namaan mengikut kelas rumah tersebut seperti dalam Lampiran B. Pegawai-pegawai yang mendiami mana-mana rumah Kerajaan, atau yang disewa khas oleh Kerajaan itu, melainkan mereka yang dikecualikan mengikut syarat-syarat perkhidmatan mereka, akan dikehendaki membayar sewa sebanyak gandaan tertentu dari sewa namaan yang ditetapkan, atau peratus tertentu daripada gajinya mengikut jenis dan tempat rumah seperti dalam Lampiran B dan C.
Kadar sewa perabot.(18).
(b) Tiap-tiap rumah yang disediakan dengan perabut-perabut seperti yang disenaraikan dalam Lampiran D akan dikenakan sewa perabut yang berasingan seperti dalam Lampiran B.
Sewa dikira dari hari masuk.
16. Sewa rumah dan sewa perabut akan dikira dari hari seseorang pegawai itu masuk ke rumah tersebut dan akan dijelaskan secara bulanan. Sewa akan berakhir di hari sebenar pegawai itu mengosongkan rumah tersebut setelah memberitahu Pegawai Perumahan.
Sewa dipotong dari gaji.(23).
17. (a) Adalah menjadi tugas Ketua Jabatan untuk memotong dari gaji seseorang pegawai di bawah jagaannya pada tiap-tiap bulan sewa rumah dan sewa perabut kerana mendiami rumah Kerajaan apabila diterima permintaan sedemikian dari Pegawai Perumahan.
Sewa akhir mesti dikutip.(26).
(b) Ketua Jabatan juga akan bertanggungjawab menentukan bahawa sewa akhir dikutip dari seseorang pegawai yang akan berhenti kerja, bersara, bertukar, bercuti atau sebagainya lagi.
Letrik, air dll. tanggungan pegawai.(27 & 28).
18. Melainkan jikalau dikecualikan, pegawai-pegawai akan dikehendaki membayar sendiri bayaran-bayaran yang berkenaan dengan perkhidmatan membuang sampah, najis, letrik dan air termasuk apa-apa cengkeram yang disyaratkan oleh pembekal-pembekal perkhidmatan-perkhidmatan tersebut.
Sewa rumah kelas tinggi dari pegawai berhak.
19. Seseorang pegawai yang telah dibenarkan mendiami sesebuah rumah Kerajaan yang kelasnya adalah lebih tinggi daripada yang ia berhak mendapat mengikut Lampiran A, boleh dikehendaki oleh Ketua Setiausaha Negara membayar sewa mengikut sewa bagi kelas rumah yang ia patut mendapat.
Sewa rumah kelas rendah dari pegawai berhak.(23).
20. Seseorang pegawai yang telah diberi rumah yang kelasnya adalah lebih rendah daripada yang ia berhak mendapat kerana tiada kekosongan rumah dalam kelas yang ia berkelayakan mendapat, boleh dikehendaki membayar sewa yang sama banyak dengan sewa yang patut dibayar oleh seseorang pegawai yang bergaji paling tinggi untuk kelas rumah tersebut seperti di Lampiran A mengikut gandaan sewa namaan atau peratus gaji, yang mana satu terkurang.
Sewa digandakan bila pegawai ingkar pindah.(23).
21. Seseorang pegawai yang telah diuntukkan rumah mengikut Perintah Am 19 atau 20 boleh dikehendaki oleh Pegawai Perumahan berpindah ke rumah yang ia berkelayakan bila ada kekosongan dalam rumah kelas yang berkenaan. Sekiranya pegawai itu ingkar berpindah, ia akan dikehendaki oleh Pegawai Perumahan membayar sewa dua kali ganda dari sewa yang ia sedang membayar dikira dari tarikh ia diberi notis berpindah itu.
Sewa bagi pegawai yang mendapat pinjaman perumahan
22. Seseorang pegawai yang telah diberi pinjaman perumahan dan masih tinggal di rumah Kerajaan bila rumah yang dibinanya telah siap didirikan boleh dikenakan sewa sebanyak dua kali ganda sewa yang patut dibayarnya seperti di Lampiran C. Peraturan ini tidak akan dikuatkuasakan bagi pegawai-pegawai yang mengikut syarat-syarat perkhidmatan mereka berhak mendapat perumahan yang percuma atau dikehendaki diam di rumah-rumah khas Jabatan atau rumah-rumah yang telah dibina oleh mereka dengan pinjaman perumahan itu terletak di luar kawasan ibu pejabat tempat mereka bertugas.
Sewa pegawai berkongsi rumah
23. (a) Apabila dua atau lebih pegawai dibenarkan berkongsi rumah, maka mereka akan dikehendaki membayar bahagian yang sama banyak dari gandaan sewa namaan rumah tersebut yang lazimnya akan dibayar oleh seseorang pegawai bagi kelas rumah tersebut yang gajinya telah sampai kepada maksima bagi kelas rumah itu seperti dalam Lampiran A dengan syarat gaji maksima bagi rumah Kelas A akan dianggap tidak melebihi $2,300 sebulan.
(b) Sekiranya jumlah sewa yang kena dibayar oleh pegawai yang berkongsi rumah di (a) itu lebih daripada jumlah sewa yang mereka patut membayar jika diberi rumah berasingan mengikut kelayakan mereka, maka mereka akan hanya dikehendaki membayar sewa yang tiap-tiap seorang mereka patut membayar mengikut kelayakan masing-masing itu, mengikut gandaan daripada sewa namaan atau peratus daripada gaji, yang mana satu terkurang.
(c) Bagi kedua-dua kes di (a) atau (b) sewa perabut hendaklah dibahagikan sama banyak di antara mereka mengikut banyak perabut yang disediakan untuk rumah itu.
Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab tentang bangunan
24. Adalah dalam bidang tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri untuk menentukan bahawa semua Jabatan-jabatan Kerajaan ditempatkan dalam bangunan-bangunan yang munasabah dan sesuai yang bukan sahaja dapat melahirkan kecekapan dan suasana bekerja yang baik tetapi juga dapat memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai untuk berhubung dengan Jabatan-jabatan tersebut. Walau bagaimanapun Ketua-ketua Jabatan adalah secara langsung bertanggungjawab menentukan bahawa semua bahagian atau cawangan Jabatannya, termasuk cawangan-cawangan kecil di luar ibu pejabat, mendapat bangunan-bangunan yang mencukupi dan sesuai untuk keperluan mereka. Ketua-ketua Jabatan hendaklah berunding dengan Ketua Setiausaha Negara tentang mendapatkan ruang-ruang pejabat, seperti pembinaan bangunan-bangunan baru atau penyewaan bangunan-bangunan lain.
25. (a) Adalah menjadi tanggungjawab seseorang Ketua Jabatan yang mendiami sesebuah bangunan pejabat Kerajaan, baik yang dibina khas ataupun yang disewa, untuk mengadakan penyeliaan yang baik bagi bangunan tersebut. Apa-apa kerosakan atau kekurangan yang berlaku kepada sesebuah bangunan itu hendaklah dilaporkan dengan segera kepada Jabatan Kerja Raya tempatan.
Perubahan kecil menyapu cat dll.(1)
(b) Apabila sesebuah bangunan memerlukan perubahan kecil seperti membesar atau mengecilkan bilik-bilik di dalamnya, menyapu cat, membaiki dinding, lantai atau tingkap dan sebagainya lagi yang dikehendaki dijalankan dengan segera, maka Ketua Jabatan hendaklah menghantarkan permintaan atas borang permintaan J.K.R. yang berkenaan kepada Jabatan Kerja Raya tempatan yang akan bertanggungjawab menimbangkan permintaan itu dan menjalankan tugas-tugas yang dipinta sewajarnya.
Pindaan besar.(1)
26. Di mana sesebuah bangunan pejabat memerlukan pindaan atau tambahan yang akan memakan belanja yang banyak, maka adalah menjadi tanggungjawab Jabatan tersebut menyediakan peruntukan kewangan bagainya sebelum Jabatan Kerja Raya dapat menjalankan pindaan atau tambahan yang dikehendaki itu. Biasanya perbelanjaan ini telah pun dimasukan terlebih dahulu dalam anggaran perbelanjaan tahunan Jabatan tersebut.
V. TANGGUNGJAWAB JABATAN KERJA RAYA
J.K.R patut memeriksa/membaiki bangunan.(17)
27. Adalah menjadi kewajipan Jabatan Kerja Raya untuk memeriksa semua rumah dan bangunan Kerajaan dalam tiap-tiap daerah setahun sekali dan membaikinya sebagaimana yang diperlukan.
Hak masuk rumah.(16)
28. Kakitangan-kakitangan Jabatan Kerja Raya, kontrektor-kontrektor Jabatan Kerja Raya dan pekerja-pekerja mereka, hendaklah dibenarkan oleh penghuni-penghuni rumah-rumah atau bangunan-bangunan Kerajaan masuk memeriksa dan membaiki rumah-rumah atau bangunan-bangunan tersebut setelah memperkenalkan diri mereka dengan memuaskan.
Peraturan ambil alih rumah.(6)
29. Apabila seseorang pegawai telah diuntukkan sebuah rumah, ketua tempatan Jabatan Kerja Raya hendaklah membuat peraturan bagi menyerahkan rumah tersebut kepada tanggungjawab pegawai yang berkenaan. Satu sijil akuan masuk rumah seperti di Lampiran E yang mengandungi butir-butir penerimaan dan keadaan perabut-perabut, perkakas-perkakas dan lain-lain barang dalam rumah itu hendaklah ditandatangani oleh pegawai yang mengambil alih itu. Pegawai akan bertanggungjawab kepada apa-apa kerosakan atau kekurangan kepada barang-barang dalam sijil akaun masuk rumah itu dan dia boleh dikehendaki membayar apa-apa kekurangan atau kerosakan yang disebabkan oleh selain daripada penggunaan yang sepatutnya seperti yang dinyatakan dalam Perintah Am 12 (b).
Peraturan kosongkan rumah.(11)
30. Apabila menerima satu lapuran dari seseorang pegawai yang hendak mengosongkan sesebuah rumah Kerajaan, Jabatan Kerja Raya hendaklah membuat peraturan bagi memeriksa rumah tersebut sebelum tarikh pengosongannya dan Jabatan Kerja Raya akan menetapkan dengan penghuni rumah tersebut tarikh pemeriksaan itu akan dilakukan. Pemeriksaan tersebut yang akan dilakukan dalam waktu pejabat, akan dijalankan pada tarikh yang telah ditetapkan itu tidak kira samada penghuni rumah itu ada atau tiada di rumah. Seseorang pegawai itu tidak akan terlepas dari tanggungjawab tentang semua kenyataan berkenaan barang-barang dan perabut-perabut seperti dalam sijil akuan masuk rumah dahulu, iaitu tentang kerosakan atau kekurangan kepada barang-barang dan perabut tersebut sehingga satu sijil akuan keluar rumah seperti dalam Lampiran F telah ditandatangani oleh seorang pegawai dari Jabatan Kerja Raya tempatan. Lepas penerimaan sijil tersebut, tanggungjawab pegawai hanyalah sekadar kerosakan atau kekurangan (jika ada) seperti yang dinyatakan dalam sijil itu sahaja.
Rumah khas jabatan
31. Peraturan-peraturan yang sama seperti di Perintah Am 29 dan 30 hendaklah dijalankan oleh Ketua Jabatan bagi rumah-rumah khas Jabatan yang di bawah kelolaan mereka.
Tanggungjawab am JKR
32. Tiap-tiap bangunan atau rumah Kerajaan hendaklah diberi nombor oleh Jabatan Kerja Raya. Jabatan ini juga akan bertanggungjawab menyediakan kelengkapan rumah yang difikirkan perlu oleh Jabatan Kerja Raya setelah berunding dengan Ketua-ketua Jabatan yang berkenaan tetapi tidak termasuk bal-bal letrik. Bagi rumah-rumah kediaman, Jabatan Kerja Raya akan menyediakan perabut-perabut seperti dalam Lampiran D.
Mengosongkan rumah bila bersara
33. (a) Seseorang pegawai yang mendiami sesebuah rumah Kerajaan mestilah mengosongkan rumah tersebut di hari akhir ia bekerja sebelum bersara melainkan jika ia telah diberi kebenaran seperti dalam kes-kes di (b) dan (c) di bawah.
(b) Seseorang pegawai yang bercuti sebelum bersara boleh dibenarkan oleh Pegawai Perumahan untuk menduduki terus rumah yang bukan rumah khas Jabatan atau jawatan senasa ia bercuti itu dan selama tidak melebihi 30 hari lagi selepas akhir cutinya itu. Bagi tujuan Perintah Am ini, seseorang pegawai yang tidak berkelayakan mengumpul cuti rehat sebelum bersara mengikut syarat-syarat perkhidmatannya akan dibenarkan tinggal di rumah tersebut tidak melebihi 30 hari lagi selepas hari akhir ia bekerja.
Mengosongkan rumah khas jabatan/ jawatan
(c) Seseorang pegawai yang mendiami rumah khas Jabatan atau jawatan akan dikehendaki mengosongkan rumah tersebut di hari akhir ia bekerja tetapi sekiranya tidak ada pegawai lain yang berhak mendapat rumah itu atau pun penggantinya belum ada lagi, maka dengan persetujuan Ketua Jabatan yang berkenaan, ia boleh dibenarkan tinggal di rumah itu selama tidak lebih daripada 30 hari lagi.
Ketua jabatan melaporkan pegawai akan bersara kpd pegawai perumahan
34. (a) Adalah menjadi tanggungjawab tiap-tiap Ketua Jabatan melapurkan kepada Pegawai Perumahan tentang persaraan seseorang pegawai di bawah jagaannya yang sedang mendiami sesebuah rumah Kerajaan. Pemberitahuan ini hendaklah dilakukan 3 bulan sebelum pegawai tersebut mula bersara.
Tindakan Peg Perumahan/ JKR
(b) Setelah menerima lapuran di (a) Pegawai Perumahan dan Jabatan Kerja Raya tempatan hendaklah mengaturkan untuk dibuat pemeriksaan akhir pengosongan rumah tersebut pada satu hari yang ditetapkan seperti peraturan dalam Perintah Am 30. Pegawai Perumahan hendaklah juga menghantar permintaan kepada Ketua Jabatan pegawai tersebut meminta supaya sewa-sewa akhir perabut dan rumah tersebut dipotong dari gajinya, termasuk sewa-sewa bagi masa-masa selepas persaraannya seperti yang telah dibenarkan oleh Pegawai Perumahan untuk pegawai itu terus tinggal di rumah tersebut.
Sewa mes dan asrama
35. (a) Satu kadar sewaan yang berlainan adalah dikenakan kepada pegawai-pegawai yang tinggal di mes, asrama atau lain-lain tempat tinggal yang serupa yang disediakan oleh Kerajaan. Kadar ini adalah seperti dalam Lampiran C.
Sewa berkongsi bilik.
(b) Di mana seseorang pegawai terpaksa berkongsi bilik di mes, asrama atau tempat tinggal yang lain itu, maka ia akan hanya dikehendaki membayar sebahagian yang sama banyak dengan pegawai yang berkongsi bilik dengannya itu, mengikut kadar sewa yang ditetapkan bagi bilik tersebut.
LAMPIRAN
1. KELAYAKAN-KELAYAKAN MENDAPAT RUMAHKERAJAAN MENGIKUT GAJI
(P.A. 4)
Kelas rumah -------------------------- Gaji Pegawai
---A ---------------------- $2,300 sebulan dan ke atas.
---B ---------------------- $1,500 sebulan dan ke atas tetapi di bawah $2,300 sebulan.
---C---------------------- $1,250 sebulan dan ke atas tetapi di bawah $1,500 sebulan.
---D---------------------- $1,250 sebulan dan ke atas tetapi di bawah $1,500 sebulan.
---E---------------------- $1,000 sebulan dan ke atas tetapi di bawah $1,250 sebulan.
---F---------------------- $500 sebulan dan ke atas tetapi di bawah $1,000 sebulan.
---G---------------------- $375 sebulan dan ke atas tetapi di bawah $500 sebulan.
---H---------------------- $190 sebulan dan ke atas tetapi di bawah $375 sebulan.
---I----------------------- Bergaji di bawah $190 sebulan.
---J----------------------- Bergaji di bawah $190 sebulan.
CATITAN :
Kelas C (ubahsuai) dijadikan Kelas D dan Kelas-Kelas D, E, F, G, H lama (Bab E, 1957) telah ditukar kepada E, F, G, H, I mengikut tertib itu. Kelas J ialah berek buruh.
2. SEWA NAMAAN RUMAH DAN SEWA TETAP PERABUT
(P.A. 15)
Kelas Rumah----------Sewa Namaan Rumah---------Sewa Tetap Perabut
.......A.......................................$50.00....................................................$6.00
.......B.......................................$35.00....................................................$5.00
.......C.......................................$20.00....................................................$5.00
.......D.......................................$15.00....................................................$2.50
.......E........................................$15.00...................................................$2.50
.......F........................................$10.00.................................................*$2.50
.......G ......................................$ 7.00 ................................................. .$1.50
.......H ...................................... $ 4.00 .................................................*$1.50
.......I .......................................$ 1.00 ...................................................Tiada dibekalkan
.......J........................................$ 1.00....................................................Tiada dibekalkan
(3) SEWA SEBENAR RUMAH
(P.A. 15)
Sewa sebenar rumah Kerajaan yang kena dibayar oleh seseorang pegawai adalah mengikut gandaan yang diberi di bawah didarab dengan sewa namaan rumah tersebut seperti dalam Lampiran B atau peratus tertentu dari gaji pegawai, mengikut mana yang terkurang; tetapi dalam kedua-dua kes sewa sebenar rumah hendaklah tidak terkurang daripada sewa minima yang ditetapkan di ruang (2) atau (3).
1. Bandaraya Kuala Lumpur dan Petaling Jaya
Rumah kerajaan biasa : 10 kali ganda sewa namaan atau 10% daripada gaji pegawai dengan syarat sewa paling kurang ialah $10 sebulan
Rumah khas jabatan atau jawatan : 5 kali ganda sewa namaan atau 5% daripada gaji pegawai dengan syarat sewa paling kurang ialah $5 sebulan
2. Ipoh, Butterworth, Georgetown, Kuala Trengganu, Seremban, Klang, Johor Baru, Kota Baru, Kuantan, dan Daerah Kuala Lumpur di luar kawasan Bandaraya
Rumah kerajaan biasa : 8 kali ganda sewa namaan atau 8% daripada gaji pegawai dengan syarat sewa paling kurang ialah $8 sebulan
Rumah khas jabatan atau jawatan : kali ganda sewa namaan atau 4% daripada gaji pegawai dengan syarat sewa paling kurang ialah $5 sebulan
3. Lain-lain kawasan atau pekan
Rumah kerajaan biasa ; 6 kali ganda sewa namaan atau 6% daripada gaji pegawai dengan syarat sewa paling kurang ialah $6 sebulan
Rumah khas jabatan atau jawatan : kali ganda sewa namaan atau 3% daripada gaji pegawai dengan syarat sewa paling kurang ialah $5 sebulan
4. Seberang Laut
Seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa
(2) SEWA MES, ASRAMA DAN LAIN-LAIN TEMPATTINGGAL YANG SERUPA
(P.A. 35)
1. MES-
(i) Pegawai Kanan (termasuk Inspektor Polis) ... ... ... ... ... $7.50 sebulan
(ii) Pegawai Rendah ... ... ... ... ... ... ... ... $5.00 sebulan
2. ASRAMA--
(i) Pegawai Kanan (Jururawat dan ke atas) ... ... ... ... ... $7.50 sebulan
(ii) Pegawai Rendah (seperti Penolong Jururawat) ... ... ... ... $5.00 sebulan
..............
No comments:
Post a Comment