Saturday, May 23, 2009

Pelan Integriti Nasional

LATAR BELAKANG PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN)
Menyedari tentang pentingnya integriti di kalangan masyarakat, Kerajaan telah menyediakan dan melaksanakan Pelan Integriti Nasional (PIN). Pelan ini dibangunkan dengan fokus utamanya untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia. Pelan seumpama ini membolehkan Kerajaan merancang pelbagai program secara teratur dalam usaha membudayakan etika dan integriti masyarakat. Sebelum ini telah terdapat pelbagai usaha yang dilakukan, tetapi didapati usaha-usaha ini tidak konsisten dan tidak menyeluruh dan hasilnya sebilangan besar usaha-usaha ini menemui kegagalan terutamanya dalam usaha mewujudkan sinergi semua sektor.

Skop dan konsep yang dibawa oleh PIN kelihatannya lebih menyeluruh dan holistik dalam memberi panduan kepada setiap komponen masyarakat untuk membudayakan integriti. PIN yang dilancarkan pada 23 April 2004, oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, adalah selaras dengan cabaran ke empat Wawasan 2020 iaitu untuk “Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”.
Objektif khusus PIN
1. Memberikan hala tuju dan bimbingan pelbagai sektor supaya mereka dapat bekerjasama dalam usaha besar membina masyarakat yang bersatu padu, berharmoni, berintegriti, bermoral dan beretika;
2. Meningkatkan kesedaran, komitmen dan kerjasama pelbagai sektor dalam usaha peningkatan integriti supaya integriti menjadi budaya masyarakat dan diamalkan dalam semua bidang;
3. Menggalakkan semangat bertanggungjawab di kalangan anggota masyarakat serta mendorong perkembangan masyarakat sivil yang menjunjung prinsip integriti dan bergerak cergas menegakkan integriti;
4. Menyumbang kepada usaha pengukuhan asas moral masyarakat dan negara, dan peningkatan kesejahteraan hidup anggota masyarakat; dan
5. Meningkatkan daya saing dan daya tahan Malaysia dalam usaha menangani cabaran abad ke-21 khususnya cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.

Untuk melaksanakan PIN, Institut Integriti Malaysia (IIM) telah ditubuhkan dengan peranan utamanya untuk mengkoordinasikan dan memantau pelaksanaan PIN. IIM telah didaftarkan sebagai sebuah badan bebas berstatus syarikat jaminan kerajaan dibawah Akta Syarikat 1965 pada 4 Mac 2005. Penubuhan IIM ini telah diumumkan kepada masyarakat pada 23 April 2004 bersempena dengan pelancaran PIN. IIM dikawal oleh sebuah Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan dianggotai oleh beberapa orang tokoh yang berwibawa dalam bidang masing-masing.

Gerakan pemantapan integriti semua lapisan masyarakat berdasarkan PIN dan dikoordinasikan pelaksanaannya oleh IIM diharapkan akan menjadi inspirasi dan kekuatan bagi membina Malaysia yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

TEKAD 2008
Kearah pemantapan integriti supaya berjalan lancar dan mencapai matlamatnya, maka Pelan Integriti Nasional (PIN) telah menyusun dan menetapkan sasarannya yang dikenali sebagai TEKAD 2008 untuk dicapai dalam tempoh lima tahun pertamanya (2004-2008). Terdapat lima sasaran yang digariskan melalui TEKAD 2008, iaitu;

Sasaran pertama
mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara berkesan. Bagi tujuan
pemantauan dan penanda aras sasaran ini akan mengguna pakai tanda aras antarabangsa dan juga dalam negeri. Tanda aras antarabangsa yang digunakan dalam menilai tahap rasuah ialah kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International. Indeks kejayaan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dalam menyiasat dan jumlah kes yang diselesaikan turut digunakan sebagai penanda aras pencapaian sasaranan pertama ini.

Sasaran ke-2
meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi karenah birokrasi. Bagi agensi yang berada dibawah kawal selia sektor kerajaan, indeks persepsi awam digunakan sebagaipenanda aras. Dalam sasaran kedua ini yang perlu dicapai ialah skor mata supaya berada dibawah paras 2.5 mata yang mana skor 1 adalah yang terbaik dan skor 5 yang terburuk. Agensi kerajaan yang lain seperti Biro Pengaduan Awam (BPA), BPR dan Ketua Audit Negara digunakan untuk melihat bilangan aduan dan maklum balas masyarakat umum. Aduan yang dibuat menerusi jabatan atau agensi kerajaan serta saluran aduan lainnya yang boleh dijadikan sumber maklumat menilai tahap perkhidmatan. Sekiranya sesuai tanda aras antarabangsa dan dalam negeri akan diambil kira untuk mengukur kecekapan pentadbiran kerajaan.

Sasaran ke-3
meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan. Sebagai petunjuk meningkatnya tadbir urus korporat dan etika perniagaan ialah peningkatan jumlah syarikat korporat yang mematuhi syarat-syarat penyenaraian di Malaysia Securities Exchange Berhad (MSEB). Kes-kes penipuan korporat juga berkurangan dan bertambahnya bilangan syarikat-syarikat yang menerima pakai Rukuniaga Malaysia dalam urusan perniagaan mereka juga akan dinilai bagi mengukur pencapaian yang disasarkan. Prestasi pencapaian sasaran ke-3 ini turut melihat peningkatan tender yang dilakukan secara telus dan merosotnya tender yang dibuat secara langsung. Berkurangnya kes pelanggaran terhadap Akta perlindungan Pengguna 1999 akan membuktikan tadbir urus korporat dan etika perniagaan bertambah baik dan diamalkan secara berterusan.

Sasaran yang ke-4
memantapkan institusi keluarga. Sasaran ini memberikan penekanan untuk melahirkan keluarga yang mempunyai daya tahan yang kukuh dan kehidupan keluarga yang sejahtera dan bahagia. Pengurangan kadar perceraian, pengurangan konflik keluarga seperti isu perebut harta dan hak penjagaan anak-anak dan pengurangan kadar keganasan rumahtangga adalah menjadi petunjuk kepada pencapaian sasaran ini. Selain dari itu peningkatan bantuan kepada keluarga ibu dan bapa tunggal turut berperanan bebagai penanda aras. Kadar pengabaian warga tua dan kadar penderaan serta pengabaian kanak-kanak perlu berkurangan dalam masyarakat dan ini juga akan digunakan untuk menentukan pencapaian sasaran yang ke-4 ini.

Sasaran yang ke-5
meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Pengurangan kadar jenayah dalam masyarakat diambil sebagai petunjuk kepada tahap kehidupan masyarakat yang lebih selamat. Jenayah yang dimaksudkan termasuklah jenayah berat, jenayah seks dan harta benda. Kadar gejala sosial seperti penagihan dadah, perlakuan seks rambang dan bebas yang menjadi punca HIV dan AIDS serta pasangan yang bersekedudukan. Pengurangan kadar ini diambil sebagai petunjuk kepada kehidupan masyarakat yang lebih sihat daan bermoral. Kes kemalangan jalanraya yang berkurangan juga mencerminkan meningkatnya etika pemanduan dan ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang lalulintas. Keberkesanan pendidikan sivik dikalangan pelajar dan tahap disiplin pelajar yang meningkat serta berkurangnya salah laku pelajar juga akan dinilai untuk menunjukkan bahawa masyarakat telah mencapai keselesaan hidup yang terbaik. Kurangnya kes pencemaran alam sekitar akan memperlihatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya pembangunan yang seimbang.

Hakikatnya semua sasaran yang hendak dicapai ini sukar untuk diukur dan ianya lebih bersifat sebjektif, tetapi anggota masyarakat dapat menilai berdasarkan pemerhatian dari masa ke semasa. Walau bagaimanapun penanda aras yang digunakan akan dapat memberikan gambaran tahap pencapaian sasaran TEKAD 2008.

GERAKAN PEMANTAPAN INTEGRITI
Gerakan pemantapan integriti adalah satu gerakan menyeluruh dan berterusan yang dipandukan oleh prinsip dan objektif Pelan Integriti Nasional (PIN). Pendekatan umum PIN ialah menggerakkan semua komponen dan sektor negara dan masyarakat supaya mendukung dan menghayati objektif dan matlamat PIN serta bekerjasama dan berkoordinasi di antara satu sama lain untuk mencapai cita-citanya. Pendekatan ini melibatkan penjalinan kekuatan pelbagai komponen 'dari bawah' yang bekerjasama sesama sendiri serta penggemblengan kekuatan tersebut dengan 'pihak atas' untuk tujuan meningkatkan integriti. Di antara pelbagai komponen itu terdapat timbal balas yang berterusan. Sementara 'pihak atas' memberikan bimbingan dan menunjukkan teladan mengenai integriti, 'pihak bawah' pula memberikan sokongan,
maklum balas dan kawalan kepada 'pihak atas'. Dengan cara ini, gerakan pemantapan integriti meningkatkan dinamika dan kekuatannya.

Setiap komponen atau sektor perlu mempunyai dan melaksanakan strategi dan program integriti masing-masing selaras dengan PIN. Strategi, program dan aktiviti itu perlu diulangkaji dari masa ke semasa. Ulangkaji itu ialah untuk menilai keberkesanan dan memperbaiki kelemahannya agar integriti secara selangkah demi selangkah menjadi budaya masyarakat dalam jangka panjang.

Keseluruhan komponen atau institusi berikut terlibat dalam gerakan ini:
a) Keluarga;
b) Komuniti;
c) Masyarakat Sivil (Pertubuhan-pertubuhan Masyarakat);
d) Sosiobudaya (pendidikan, kesihatan, sukan dan rekreasi, media massa, seni, sastera dan warisan);
e) Agama
f) Ekonomi
g) Politik; dan
h) Pentadbiran

MEKANISME PELAKSANAAN
Pelaksanaan dan penyelarasan program integriti di setiap komponen atau institusi adalah tanggungjawab agensi yang sudah sedia wujud dalam komponen itu sendiri. Bagi komponen yang tidak ataupun belum mempunyai mekanisme berkenaan, usaha ke arah pembentukan mekanisme ini perlu dilakukan. Pada masa ini di sektor awam sudahpun terdapat mekanisme pelaksanaan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) di pelbagai peringkat. Mekanisme ini perlu diperkukuhkan dengan komitmen yang lebih tinggi dari semua lapisan kepimpinan supaya ia menjadi lebih berkesan. Bagi sektor swasta, terdapat badan-badan yang mewakili kepentingan majikan seperti dewan perniagaan dan persatuan lain yang boleh memainkan peranan ini. Badan pengawalan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) berperanan untuk memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang ditetapkan untuk sektor-sektor berkenaan. Bagi komponen lain seperti keluarga, komuniti, masyarakat sivil, dan sosiobudaya, terdapat pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sudah sedia wujud dan yang boleh menjadi penggerak dalam melaksanakan program integriti masing-masing. Pemantauan oleh mana-mana agensi seperti Pendaftar Pertubuhan, misalnya, perlu dilakukan secara berkesan. Walau bagaimanapun, pemantauan dan penyelarasan paling berkesan ialah oleh badan-badan dalam komponen itu sendiri.

Kepentingan golongan pelajar, belia, wanita, golongan agama dan pelbagai kumpulan etnik, khususnya golongan minoriti, penduduk bandar dan luar bandar serta golongan bawahan, perlu diberikan perhatian khusus dalam gerakan pemantapan integriti. Pemerkasaan atau empowerment melalui penglibatan golongan-golongan ini dalam proses pembuatan keputusan di pelbagai peringkat patut dititikberatkan, manakala perasaan tersisih atau terpinggir perlu diatasi. Pelaksanaan dan penyelarasan program integriti masing-masing juga harus dilakukan melalui pelbagai badan yang sedia wujud.

Bagi kelompok seperti pelajar, belia, dan wanita, terdapat banyak organisasi yang mewakili mereka. Bahkan, di peringkat kebangsaan masing-masing mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan, Majlis Perundingan Belia Kebangsaan, dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).
Bagi golongan pekerja, terdapat CUEPACS dan MTUC masing-masing untuk pekerja sektor awam dan sektor swasta. Bagi golongan petani dan nelayan, terdapat Pertubuhan Peladang dan Persatuan Nelayan, untuk kelompok masing-masing yang bergerak di peringkat nasional dan juga peringkat akar umbi.

Bagi penganut agama, terdapat banyak pertubuhan dan institusi agama pelbagai kaum di peringkat nasional dan tempatan. Badan-badan ini perlu membimbing ahli mereka supaya menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni agama masing-masing. Badan-badan ini juga perlu memainkan peranan mengukuhkan perpaduan dan persahabatan, sekaligus memupuk sikap saling memahami dan menghormati antara penganut agama yang berlainan. Kelompok etnik mempunyai banyak pertubuhan khusus yang mewakili kepentingan etnik masing-masing. Hak dan kepentingan wajar golongan etnik perlu dihormati. Namun, kecenderungan bergerak mengikut garis etnik perlu diselaraskan dengan kepentingan membina sebuah komuniti nasional yang bersatu padu dan harmoni. Pelbagai pertubuhan yang mewakili kepentingan etnik perlu melaksanakan program integriti masing-masing yang menitikberatkan nilai perpaduan, persefahaman dan kerjasama antara kaum di samping menekankan nilai-nilai terbaik etnik masing-masing.

Untuk menjamin kejayaan gerakan pemantapan integriti, pelaksanaan, pemantauan, serta koordinasi atau penyelarasan pelaksanaan program haruslah dilakukan 'dari bawah' melalui pemerkasaan komponen atau sektor masing-masing. Pemantauan dan penyelarasan yang dilakukan secara pentadbiran yang birokratik boleh membantut daya usaha akar umbi dan ini harus dielakkan. Sensitiviti pelbagai lapisan atau komponen masyarakat terhadap campur tangan pihak lain perlu diambil perhatian. Sikap terhadap mana-mana golongan ataupun pertubuhan perlu tepat dan membina. Tindakan melabelkan mereka oleh pihak berkuasa dan pihak lain tidak harus dilakukan.

STRATEGI PELAKSANAAN PELAN TINDAKAN INTEGRITI
Keseluruhan pendekatan, strategi, dan pelan tindakan bagi mencapai objektif dan sasaran PIN merupakan salah satu agenda utama negara, dan kini dirujuk sebagai Agenda Integriti. Matlamat Agenda Integriti boleh dicapai dengan mengatur secara rapi Strategi Pelaksanaan dan Pelan Tindakan untuk pelbagai institusi masyarakat dan negara.

Dari segi strategi pelaksanaan, pucuk pimpinan perlu memberikan isyarat yang jelas, tegas dan konsisten tentang komitmen mereka melaksanakan Agenda Integriti. Komitmen yang sama perlu ditunjukkan oleh anggota lain dalam kepimpinan negara. Isyarat sedemikian akan mengobarkan semangat, keyakinan dan keghairahan rakyat untuk turut bersama dengan kepimpinan sesuai dengan prinsip "Rakyat menyokong pemimpin yang menyokong rakyat".
Sebagai strategi jangka panjang, gerakan pemantapan integriti harus mempunyai asas yang kukuh. Asas ini perlu dibina dari bawah dengan melibatkan institusi paling asas, iaitu keluarga, komuniti dan masyarakat sivil.

Pembabitan keluarga dan komuniti setempat dalam gerakan pemantapan integriti akan menjamin kejayaan agenda menjadikan integriti budaya masyarakat dalam jangka panjang. Pendekatan ini selaras dengan hakikat bahawa masyarakat Malaysia merupakan sebuah masyarakat yang berorientasikan keluarga dan komuniti. Kini, nilai keluarga dan komuniti masih kukuh dan mendalam walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran. Justeru, bagi memastikan penerusan keteguhan nilai-nilai itu, pembinaan integriti harus bermula daripada keluarga. Keluarga adalah unit paling asas bagi pembentukan sikap dan nilai murni dalam diri anggotanya. Keluarga membimbing tingkah laku dan membentuk serta memantapkan integriti anggotanya. Tumpuan pembentukan nilai-nilai murni harus bermula daripada kanak-kanak manakala ibu bapa dan penjaga harus membimbing dan menjadi teladan yang baik. Dengan demikian, dalam gerakan pemantapan integriti, institusi keluarga memainkan peranan utama.

Agenda Integriti untuk keluarga ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pembangunan keluarga dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia;
• Peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani; dan
• Pemantapan nilai-nilai murni sebagai asas pembentukan identiti.
Institusi keluarga berada di tengah-tengah komuniti atau masyarakat setempat. Komuniti terdiri daripada keluarga dan kelompok-kelompok kejiranan yang menjalin rangkaian sehingga menjadi komuniti yang lebih luas. Pelaksanaan Agenda Integriti untuk keluarga berkaitan erat dengan Agenda Integriti untuk komuniti.
Dalam komuniti terdapat pelbagai institusi tradisional seperti ketua kampung, imam, penghulu, pemanca dan ketua kaum yang sepatutnya menyemai nilai-nilai murni masyarakat kepada generasi baru. Kewujudan institusi seperti ini membantu pembentukan identiti berlandaskan nilai tradisi. Selain itu terdapat pertubuhan akar umbi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Penduduk yang menjaga kerukunan hidup dalam komuniti, termasuk menangani gejala sosial. Juga, terdapat institusi khusus seperti sekolah, pusat asuhan kanak-kanak, tadika, masjid, surau, pusat mengaji al- Quran dan institusi ibadat lain yang boleh berperanan membina jasmani, emosi, rohani dan intelek kanak-kanak.
Agenda Integriti untuk komuniti ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pengukuhan nilai-nilai murni kejiranan dan komuniti;
• Pemantapan pertubuhan dan institusi asas dalam komuniti; dan
• Pengukuhan semangat patriotisme dan perpaduan antara kaum serta kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Ruang di antara keluarga dan komuniti dengan institusi besar, khususnya negara dan kuasa pasaran atau institusi ekonomi ialah ruang masyarakat sivil. Melalui proses modenisasi, perkembangan kelas menengah, pengaruh dan interaksi dengan dunia antarabangsa serta impak globalisasi, ruang masyarakat sivil semakin berkembang. Dalam ruang ini terdapat pelbagai pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil (Civil Society Organisation - CSO) yang memperjuangkan pelbagai isu seperti hak wanita, pengguna, alam sekitar dan hak asasi man usia. Pertubuhan-pertubuhan ini juga bergiat memajukan profesion atau aktiviti tertentu seperti sukan, kesenian, kebudayaan dan aktiviti keagamaan; ataupun berperanan sebagai pemberi khidmat penjagaan.

Agenda Integriti untuk masyarakat sivil ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Peningkatan integriti masyarakat sivil - badan bukan kerajaan;
• Peningkatan sumbangan CSO kepada usaha pemantapan integriti; dan
• Pengukuhan kerjasama antara CSO, kerajaan dan swasta untuk pemantapan integriti.

Begitu juga dengan institusi sosiobudaya yang merangkumi pendidikan (sekolah, kolej dan universiti), kesihatan, rekreasi dan sukan, media massa serta seni, sastera dan warisan turut memainkan peranan membina dan mengukuhkan integriti masyarakat dan negara. Institusi ini menyumbang kepada pembinaan modal sosial, meningkatkan kesihatan dan keceriaan, memupuk perasaan kekitaan, menangani gejala sosial dan lain-lain. Dengan demikian, institusi tersebut mempunyai pengaruh besar terhadap pengukuhan integriti keluarga, komuniti dan seterusnya masyarakat dan negara.

Agenda Integriti untuk institusi sosiobudaya ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pembinaan insan yang berintegriti dalam persekitaran sosiobudaya yang berintegriti;
• Peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan, jasmani dan rohani; dan
• Pemantapan nilai-nilai murni, perpaduan dan pembentukan identiti warga negara.
Masyarakat Malaysia berbilang kaum dan agama. Institusi agama sangat penting dalam membina integriti individu, masyarakat dan negara. Pembinaan ini dilakukan dengan menyemai nilai-nilai moral dan etika di dalam diri individu dan keluarga berlandaskan ajaran agama masing-masing. la juga dilakukan dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam pengurusan pelbagai institusi lain termasuk pendidikan, media, ekonomi, politik dan pentadbiran. Oleh yang demikian, institusi agama dan kepelbagaian agama perlu ditangani sebaik mungkin.

Agenda Integriti untuk institusi agama ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Peningkatan kerjasama, persefahaman dan saling menghormati antara penganut pelbagai agama;
• Penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni ajaran agama; dan
• Peningkatan penghayatan dan pengamalan nilai-nilai murni ajaran agama Islam sebagai agama kemajuan.
Institusi ekonomi adalah institusi yang memakmurkan masyarakat dan negara melalui proses pengeluaran dan penyediaan peluang pekerjaan. Bergerak dalam ruang ini ialah banyak syarikat korporat dan syarikat besar lain, di samping perusahaan sederhana dan keci!. Mereka telah membuat sumbangan penting kepada kemajuan negara dan kemakmuran rakyat Malaysia pada hari ini. Selain itu terdapat organisasi ya~ mewakili kepentingan majikan dan
kepentingan pekerja. Organisasi ini memainkan peranan masing-masing dalam memelihara hubungan yang membolehkan urusan ekonomi dan pekerjaan dilaksanakan dengan berkesan.

Agenda Integriti untuk institusi ekonomi ialah bagi mencapai objektit berikut:
• Pemantapan integriti sektor korporat;
• Pengembangan dan pengukuhan budaya niaga yang beretika; dan
• Pengukuhan perpaduan antara kumpulan etnik dan antara wilayah melalui aktiviti ekonomi.
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem politik demokrasi dengan pemerintah dipilih melalui pilihan raya. Sistem ini menggabungkan institusi raja berperlembagaan dengan sistem pemerintahan berparti di peringkat pusat dan negeri dengan pilihan raya dijalankan secara berkala. Sistem ini, yang sudah dilaksanakan semenjak kemerdekaan, terbukti berkesan dan berjaya membawa kestabilan, keharmonian dan pembangunan kepada rakyat berbilang kaum. Justeru, sistem ini perlu dipertahankan dan dikembangkan manakala pelbagai kelemahan dan kekurangannya diperbaiki.

Cabaran terbesar parti dan ahli politik, terutamanya bagi parti yang memegang kuasa ialah memantapkan integriti dan menangani jangkaan rakyat yang kian meningkat. Hasil kemajuan pendidikan dan pendedahan kepada dunia luar, rakyat semakin sedar tentang hak mereka. Dengan itu, mereka semakin tidak teragak-agak untuk mengemukakan tuntutan bagi mendapatkan hak mereka itu. Rakyat juga mahu gelanggang politik menjadi medan yang bersih dan landasan memajukan masyarakat dan negara. Justeru, rakyat menuntut mereka yang menceburi politik atau yang berkuasa supaya bersifat amanah, telus, bertanggungjawab, serta benar-benar berkhidmat demi kepentingan rakyat dan negara. Bahkan, rakyat meletakkan parti dan ahli politik di bawah kanta mikroskop untuk dinilai. Selain itu, rakyat mahukan gelaran "Yang Berhormat" menjadi "Yang Berkhidmat". Wakil-wakil Rakyat juga dikehendaki berpegang pada etika dan prinsip "bekerja bersama-sama ketua, bukan untuk ketua, tetapi untuk rakyat dan negara".

Agenda Integriti untuk institusi politik ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pengekalan keluhuran Perlembagaan dan sistem politik negara;
• Pengekalan kedaulatan dan peningkatan keutuhan institusi parlimen sebagai institusi penggubal undang-undang yang luhur;
• Pengamalan politik yang berintegriti serta pengembangan budaya politik yang sihat, beretika, matang dan demokratik mengikut acuan sendiri; dan • Pemantapan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik.

Institusi pentadbiran di Malaysia adalah antara yang terbaik di negara membangun. Jentera pentadbiran bersama-sama dengan jentera politik merupakan tulang belakang kekuatan masyarakat dan negara. Pentadbiran merupakan aspek penting yang menentukan kejayaan sesuatu dasar dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan. Pentadbiran sektor awam adalah peneraju utama yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat dan negara. Sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam yang cekap dan berkualiti amat perlu bagi memenuhi keperluan masyarakat dan memastikan kesejahteraan hidup rakyat. Oleh yang demikian, integriti jentera pentadbiran sangat penting ditangani.

Agenda integriti untuk institusi pentadbiran ialah bagi mencapai objektif berikut:
• Pemantapan prinsip ketelusan, pertanggungjawaban dan tadbir urus terbaik; dan
• Peningkatan integriti jentera pentadbiran awam.

Kesimpulan
Pelaksanaan pelbagai strategi dan pelan tindakan untuk setiap institusi dan sektor dalam masyarakat dan negara seperti yang digariskan di atas akan meningkatkan daya tahan gerakan pemantapan etika dan integriti. Semua ini akan menyumbang kepada pembangunan yang seimbang dan lestari, kestabilan politik dan keharmonian kehidupan rakyat pelbagai kaum serta peningkatan kesejahteraan hidup rakyat.

Bagi menentukan agar setiap komponen atau sektor dapat bertemu, berkongsi pengalaman dan berdialog antara satu sama lain di pelbagai peringkat, menilai keberkesanan program integriti masing-masing serta membaharui komitmen mereka kepada usaha peningkatan integriti, satu Konvensyen Integriti perlu diadakan secara berkala. Konvensyen yang menjadi forum pertemuan semua komponen dan sektor ini akan dianjurkan di pelbagai peringkat dengan kemuncaknya di peringkat kebangsaan.

Institut Integriti Malaysia (IIM) yang ditubuhkan serentak dengan pelancaran PIN berperanan selaku penganjur Konvensyen ini secara bersama dengan pelbagai sektor berkenaan. IIM juga berperanan selaku penyalur sebarang perakuan yang terbit daripada Konvensyen tersebut kepada Kerajaan serta pelbagai pihak lain yang bekenaan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment