Saturday, May 23, 2009

Etika Profesion Keguruan dan akauntabiliti

Maksud Etika
1. Satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka, 1995)
2. Prinsip moral atau set prinsip moral (Kamus Oxford, 1994).
3. Tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat.
4. Dari persepktif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah.

Maksud Etika Profesional
Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.
Skop Etika Profesional
1. Mencakupi sebahagian besar kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi seperti mencuci kereta, menanam bunga dll.
2. Dalam Islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.
3. Etika PerguruanBermaksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan negara, pelajar, rakan sejawat dan ibu bapa pelajar.

Kepentingan Etika Guru
Guru perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika dianggap penting kerana:

1. Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana bertingkah laku dalam profesion perguruan. – Sesuai untuk dirujuk dan diamalkan oleh guru.
2. Kod Etika Perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan. – Guru lebih faham dan jelas tentang tanggungjawab mereka.
3. Kandungan yang dinyatakan dalam Kod Etika Perguruan di negara ini menunjukkan perbezaan tertentu berbanding kod etika di negara lain. – Guru dapat melihat keunikan etika yang diamalkan sama ada di negara ini ataupun di negara lain.
4. Kod Etika dalam bentuk dokumen, usaha untuk menyemak semula kod ini dapat dilakukan. – Kecemerlangan sesuatu profesion boleh dilihat menerusi sejauh mana kod etikanya boleh dipertahankan dan dikuatkuasakan.
5. Menerusi kod etika, guru dapat meningkatkan lagi imej profesion perguruan secara hitam putih dan rasmi. – Membuka mata masyarakat untuk menghayati tanggungjawab guru yang luas dan berat dan menyokong guru dalam mencapai matlamat pendidikan dan negara.
6. Etika kerja merupakan nilai-nilai yang penting dalam sesebuah organisasi. – Pengamalan etika dapat mengekal, dan memelihara kepercayaan yang diberi dalam menjalankan tugas, serta memupuk tanggungjawab bersama dan mengeratkan perhubungan atnara ahli dalam organisasi

Tanggungjawab guru

1. Guru tidaklah harus bertingkahlaku sehingga begitu rupa sehingga boleh mencemarkan sifat profesionalnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap profesion perguruan.
2. Guru tidaklah harus bertingkahlaku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.
3. Dalam semua hubungan dan tugas, guru hendaklah menjalankannya dengan jujur.
4. Tanggungjawab utama guru ialah terhadap muridnya. Kepentingan murid mengatasi semua kepentingan lain seperti kepentingan masyarakat, persatuan atau persendirian.
5. Guru haruslah menumpukan perhatian terhadap keperluan setiap muridnya.
6. Guru haruslah memberi perhatian dan pengajaran untuk semua murid tidak kira bangsa dan agama atau kepercayaan.
7. Guru haruslah bertugas sebagai 'pengganti ibubapa' dalam usaha membentuk tingkah laku murid ke arah matlamat yang diterima oleh masyarakat.
8. Guru haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak kira bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal, keturunan, daya intelek dan lain-lain.
9. Guru haruslah mengesan, menerima perbezaan individu di kalangan muridnya dan membimbing mereka memperkembangkan potensi mereka dari segi jasmani, intelek, daya cipta dan lain-lain.
10. Guru haruslah menghormati hak setiap murid supaya maklumat sulit mengenai diri murid tidak diberitahu kepada orang atau agensi yang tidak berkenaan.
11. Guru tidaklah harus bertingkah laku terhadap muridnya begitu rupa yang boleh membawa jatuhnya darjat profesion perguruan.
12. Guru tidaklah harus menanam sikap yang boleh merosakkan kepentingan murid, masyarakat atau negara.
13. Guru haruslah menanamkan sikap yang baik terhadap semua muridnya supaya mereka dapat berkembang menjadi warganegara yang taat dan berguna.
14. Guru tidaklah harus menyatakan atau membuat sesuatu yang boleh mengurangkan keyakinan diri murid dan ibubapa terhadapnya.
15. Guru haruslah bertingkahlaku begitu rupa supaya menjadi contoh baik atau 'role model' kepada muridnya.
16. Guru tidak harus menerima apa-apa bayaran daripada muridnya untuk pelajaran atau pengajaran tambahan yang dijalankan semasa waktu sekolah atau cuti sekolah melainkan bayaran yang disahkan.
17. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya untuk kerja tuisyen atau pengajaran persendirian.
18. Guru tidaklah harus memaksakan kepercayaan, keagamaan, politik persendirian terhadap muridnya.
19. Guru tidaklah harus meminta atau menerima hadiah daripada ibubapa atau ahli masyarakat dalam menjalankan tugas profesionalnya.
20. Guru tidaklah harus menjatuhkan nama baik guru lain.
21. Guru haruslah menggunakan cara yang sahaja (iaitu berdasarkan kecekapan) untuk tujuan kenaikan pangkat atau untuk mendapat pekerjaan.
22. Guru tidaklah harus mengiklankan dirinya dengan cara membesar-besarkan namanya untuk mendapatkan sesuatu pangkat dalam profesion perguruan
Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia
Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia perlu dilaksanakan dan dihayati berdasarkan prinsip-prinsip berikut:-
Niat yang betul
Perlakuan yang baik
Pengerak ke arah kebaikan
Memperkotakan apa yang dikatakan
Berdisiplin dan beradab
Menghargai dan bertanggungjawab hasil usaha organisasi

NILAI-NILAI UTAMA ETIKA KERJA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
Walaupun banyak terdapat nilai-nilai mulia, tetapi tujuh nilai utama menjadi fokus Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia.
Nilai-nilai itu adalah:
Amanah
Benar
Bijaksana
Bersyukur
Dedikasi
Ihklas
Penyayang
Akauntabiliti keguruan

1.0 Konsep keguruan

Menurut Kamus Dewan (1970), ‘guru’ bererti pendidik, pengajar dan pengasuh. Jika dihuraikan dengan lebih mendalam lagi, pendidik bermaksud orang yang memelihara dan melatih. Pengajar ialah seorang yang menjadi petunjuk kepada orang lain, manakala pengasuh memberi makna orang yang memelihara, menjaga dan mendidik. Manakala keguruan ialah sesuatu yang mempunyai perkaitan dengan bidang menuntut ilmu atau tempat mendapatkan ilmu seperti sekolah, tempat belajar, pengajaran dan pembelajaran dan sebarang perkara yang mempunyai perkaitan dengan guru.

2.0 Konsep Akauntabiliti
Mengikut Kamus Dwibahasa , perkataan ‘akauntabiliti’ di huraikan sebagai bertangungjawab kepada seseorang atau bertangugjawab terhadap sesuatu. Menurut Tan Sri Ahmad Sarji , konsep akauntabiliti adalah satu obligasi untuk memberikan jawapan dan penjelasan mengenai sesuatu tindakan dan prestasi kepada mereka yang berhak untuk mendapat jawapan dan penjelasan tersebut . Akauntabiliti juga adalah mengenai displin dan keperluan untuk memberikan justifikasi dan menerima keberrtangungjawaban terhadap sesuatu keputusan yang telah diambil.

3.0 Akauntabiliti keguruan.
Akauntabiliti keguruan bermakna tanggungjawab yang harus difahami dan dilaksanakan oleh seseorang guru. Akauntabiliti keguruan juga membawa maksud berkenaan dengan tanggungjawab guru terhadap profesionalisme keguruan. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru yang dimaksudkan di atas merangkumi akautabiliti guru terhadap pelajar , diri guru itu sendiri, sekolah, masyarakat dan negara , dan profesion keguruan amnya.

Akauntabiliti guru terhadap

3.1 Pelajar
Seorang guru haruslah menjalankan tugasnya dengan penuh dedikasi di bilik darjah termasuk mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan pembelajaran mengikut kaedah dan teknik yang berkesan. Guru juga haruslah mengutamakan kemajuan, kebajikan dan keselamatan murid-murid berbanding hal-hal lain. Seorang guru yang bertanggungjawab haruslah bersikap adil terhadap pelajar-pelajarnya tanpa mengira bangsa, agama, faktor jasmani, emosi, mental, politik, sosial dan perkara-perkara lain. Guru hendaklah membimbing dan mengajar murid-murid di bilik darjah tanpa meminta sebarang bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru sekali-sekala perlu memberi hadiah kepada murid-muridnya untuk menggalakkan mereka berminat terhadap proses pembelajaran. Memberi contoh teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa bertugas harus juga di amalkan supaya murid memperolehi model yang baik. Ini adalah kerana seorang guru merupakan orang yang di hormati oleh pelajarnya, oleh yang demikian perlulah guru menjaga profesionalisme guru supaya mereka tidak di benci,di pandang serong dan tidak di hormati lagi oleh anak muridnya.
3.2 Diri
Seorang guru haruslah menjaga kebersihan dan kesihatan dirinya agar dapat menjalankan tugas sebagai pendidik dengan sempurna. Emosi hendaklah di kawal oleh guru sendiri dan juga perlu menghindarkan diri dari sebarang ketegangan jiwa yang boleh mengganggu tugasnya. Sebagai seorang guru, guru hendaklah bijak menguruskan kewangan dengan bijaksana dan mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan. Ini adalah kerana jika guru gagal menguruskan kewangan maka guru akan menghadapi masaalah luaran yang boleh menjejaskan tumpuannya terhadap proses pengajaran di sekolah. Guru juga di galakkan melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. dan peka terhadap peristiwa di sekeliling melalui media massa atau elektronik supaya mudah memberikan imput yang berguna terhadap profesionnya. Guru juga boleh melibatkan diri dalam sesuatu hobi dan aktiviti berfaedah di masa lapang yang boleh menjadikan guru itu sihat dari segi mental dan fizikal.

3.3 Sekolah
Sekolah ialah tempat seseorang guru bertugas. Oleh itu , guru juga bertangungjawab terhadap tugas yang di amanahkan oleh pentadbiran sekolah. Sebagai seorang ahli dalam sebuah sekolah ,guru mempunyai akauntabiliti terhadap perkembangan dan kemajuan sekolah. Dalam hal ini, selain tugas mengajar , guru juga hendaklah menjalankan tugas-tugas yang lain seperti sebagai guru displin, kaunselor, setiusaha peperiksaan,setiusaha PIBG, panitia mata pelajaran dan jawatan-jawatan lain yang di lantik oleh pihak pentadbiran sekolah.

3.4 Masyarakat dan Negara
Sebagai seorang guru , beliau hendaklah menjalankan tugas untuk menyebarkan cita dan matlamat pendidikan negara berlandaskan kepada prinsip-prinsip Rukun Negara. Guru hendaklah Memupuk nilai dan sikap murni pelajar dan sesuai dengan masyarakat berbilang bangsa dalam diri pelajar. Guru hendaklah memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia dengan mengambil bahagian secara cergas dalam kegiatan-kegiatan masyarakat. Selain itu guru hendaklah mengeratkan persefahaman dan kerjasama di kalangan guru dan ibu bapa pelajar. Guru haruslah bersopan santun dan bertingkahlaku baik dalam segala aktiviti sosial bagi mewujudkan suasana harmoni. Guru perlu sentiasa berusaha untuk memenuhi tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan tidak menyebarkan ajaran yang boleh merosakkkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara. Guru juga hendaklah sering memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap pelajar yang dapat membimbing mereka menjadi warganegara yang setia, bertanggungjawab, menghormati orang lebih tua dan perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Di samping itu guru hendaklah menghormati masyarakat di tempat guru tersebut berkhidmat dan memenuhi tanggungjawab sebagai ahli masyarakat. Guru juga perlu menggalakkan kerjasama di antara guru dengan ibubapa dan masyarakat, serta mengamlkan tingkah laku soppan yang diterima oleh masyarakat .

3.5 Profesion Keguruan
Guru haruslah meluaskan ilmu dengan membaca pelbagai buku rujukan berkaitan mata pelajaran yang diajar. Ini termasuklah memahami selengkapnya isi pelajaran bagi mata pelajaran yang diajar dan menyertai seminar pendidikan seperti kursus-kursus yang dianjurkan oleh jabatan pendidikan atau pihak pentadbiran sekolah. Ini di lakukan dengan merancang dan melaksanakan strategi pengajaran sepenuhnya bagi mencapai objektif pelajaran secara maksimum. Guru juga hendaklah mengajar dengan fakta yang betul agar murid menerima ilmu yang betul dan tepat.

4.0 Penutup
Dengan dapat memahami prinsip akauntabiliti , guru dapat memahami tanggungjawabnya yang sebenar. Penghayatan akauntabiliti haruslah di hayati sepenuhnya kerana akan dapat meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Ini kerana penghayatan tersebut membolehkan semua guru dapat menjalankan tanggungjawab dan tugas-tugasnya dengan penuh komited dan dedikasi. Akauntabiliti atau tanggungjawab seorang guru merangkumi akuntabilitinya terhadap sekolah, diri sendiri , murid-murid dan profesion keguruan akan dapat ditingkatkan sekiranya seseorang guru itu benar-benar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik dengan berkesan. Peningkatan dalam bidang tersebut melambangkan tingginya kualiti seseorang guru yang juga akan meningkatkan taraf profesionalisme keguruan. Selain itu guru juga dapat melaksanakan tugas itu dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi sekiranya guru tahu tanggungjawabnya terhadap kerjayanya. Kesedaran kepada akauntabiliti akan menjadikan seseorang guru itu lebih bertanggungjawab terhadap tanggungjawab yang di laksanakannya. Oleh yang demikian, akauntabiliti perlulah dihayati oleh semua guru. Sekiranya seseorang guru itu mengabaikan akauntabiliti terhadap tugas dan tanggungjawabnya , maka tanggungjawabnya tidak dapat di jalankan dengan baik dan akan gagal melahirkan modal insan seperti yang di cita-citakan negara. Ini akan menjatuhkan martabat profesion perguruan oleh kerana perbuatan yang tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang di berikan.

No comments:

Post a Comment