Saturday, May 23, 2009

Perintah Am Bab A

PERINTAH-PERINTAH AM BAB A : LANTIKAN DAN KENAIKAN PANGKAT

PERINTAH-PERINTAH Am yang berikut ini telah dikeluarkan di bawah kuasa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung mengikut Fasal (2) Perkara 132 dalam Perlembagaan
UMUM
1. Tertakluk kepada Bahagian 10 dalam Perlembagaan, bab ini akan dipakai bagi semua lantikan dan kenaikan pangkat ke jawatan-jawatan dan perkhidmatan-perkhidmatan Persekutuan dan ke jawatan-jawatan dalam Perjawatan Persekutuan.

2. Peraturan yang ditetapkan dalam bab ini bagi membuat lantikan-lantikan ke jawatan-jawatan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang di bawah bidang kuasa sesebuah Suruhanjaya hendaklah dipakai bagi semua lantikan-lantikan tetap dan sementara melainkan lantikan-lantikan tertentu yang dikecualikan oleh Suruhanjaya.

3. Dalam bab ini:
(i) "Jabatan" akan meliputi juga sebuah Kementerian atau Jabatan seseorang Menteri;
(ii)"Ketua Jabatan" bermakna Ketua Setiausaha kepada Kementerian, Ketua Jabatan, Ketua sesuatu Perkhidmatan, mengikut mana yang berkenaan;
(iii)"Kenaikan pangkat" bererti kenaikan pangkat yang seseorang pegawai itu ada harapan untuk mendapatnya mengikut skim perkhidmatannya, iaitu kenaikan pangkat dari satu tingkatan ke satu tingkatan yang lebih tinggi dalam satu skim yang sama.
(iv)"Lantikan" termasuk lantikan pertama ke perkhidmatan Kerajaan dan sebarang perlantikan pegawai-pegawai sedang berkhidmat ke dalam skim perkhidmatan yang lain.
(v)"Pegawai Persekutuan" bermakna pegawai yang dilantik ke dalam mana-mana perkhidmatan Persekutuan.
(vi)"Pegawai dalam Perjawatan Persekutuan" bermakna seorang pegawai yang kena berkhidmat dengan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan sebarang Kerajaan Negeri.
(vii)"Pegawai sedang berkhidmat" termasuk pegawai dalam percubaan, pegawai sementara, pegawai dalam tukar sementara atau pinjaman, dan pegawai kontrek.
(viii)"Perkhidmatan gunasama" bermakna sebarang perkhidmatan yang diistiharkan sedemikian oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa dan termasuk perkhidmatan-perkhidmatan dalam Lampiran A.
(ix)"Suruhanjaya" bermakna Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang, Suruhanjaya Pasukan Polis, Suruhanjaya Perkhidmatan Keretapi, mengikut mana yang berkenaan;

I. SYARAT-SYARAT AM LANTIKAN DAN PERKHIDMATAN

4. Tertakluk kepada Perintah Am 5 semua calun-calun untuk lantikan ke dalam perkhidmatan Kerajaan samada bagi jawatan tetap, sementara atau kontrek mestilah warganegara Malaysia

5. Calun-calun bukan warganegara yang diperlukan oleh sebab ketiadaan calun-calun warganegara sendiri yang berkelayakan dalam tugas-tugas tertentu atau dalam jawatan-jawatan tertentu diseberang laut hanya boleh dilantik secara kontrek atau sementara atas kebenaran dan syarat-syarat khas Kerajaan dan hanya bagi masa yang terhad sahaja.

6. Bekas-bekas pegawai yang telah berhenti dari perkhidmatan Kerajaan tidak boleh diambil balik berkhidmat dalam apa jua pun jawatan melainkan dengan kebenaran khas Suruhanjaya yang berkenaan.
.
7. Bekas-bekas pegawai yang telah dibuang atau ditamatkan kerja kerana sebab-sebab tatatertib atau kerja yang tidak memuaskan tidak boleh dilantik semula ke dalam perkhidmatan Kerajaan dalam apa-apa jua pun jawatan melainkan dalam keadaan khas dan luar biasa yang boleh ditimbangkan oleh Suruhanjaya. Bagaimanapun seorang bekas pegawai yang telah ditamatkan jawatan atas sebab tidak lulus peperiksaan yang diwajibkan atau diberhentikan kerja oleh sebab dasar mengurangkan kakitangan pada satu-satu masa boleh diambil semula ke dalam perkhidmatan Kerajaan.

8. Sesebuah Suruhanjaya berhak melantik pegawai-pegawai Kerajaan yang sedang berkhidmat dalam satu skim perkhidmatan ke satu jawatan lain dalam mana-mana skim perkhidmatan dengan syarat mereka difikirkan sesuai sungguhpun mereka tidak mempunyai semua kelayakan yang disyaratkan bagi jawatan-jawatan itu.

9. Semua perlantikan ke dalam perkhidmatan Kerajaan hendaklah mengikut skim-skim perkhidmatan yang telah diluluskan oleh Kerajaan. Sebarang pemindahan syarat-syarat dalam mana-mana skim hendaklah dengan persetujuan terlebih dahulu dari Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

10. (a) Di mana dalam sesebuah skim perkhidmatan atau iklan kekosongan jawatan disebutkan tentang umur, maka umur yang dimaksudkan disitu ialah umur pada ulangtahun harijadi mengikut kalendar Gregory.
(b) Dalam menentukan umur ini, maka di mana hanya bulan sahaja yang diketahui maka tarikh lahir seseorang itu hendaklah dianggap sebagai jatuh pada hari akhir dalam bulan itu, dan di mana tahunnya sahaja diketahui, tarikh lahir ini hendaklah dianggap sebagai jatuh pada 31 haribulan Disember tahun itu.
(c) Di mana tarikh lahir seseorang itu ialah pada 29hb Februari, maka ulangtahun harijadinya ialah pada 1hb Mac bagi tahun-tahun yang bukan tahun lumpat.

11. Di mana dalam satu-satu skim perkhidmatan atau ikan-iklan kekosongan ada timbul keraguan tentang maksud kelulusan-kelulusan yang setaraf, maka perkara itu hendaklah dirujukkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk penentuan.

12. (a) Semua jawatan-jawatan kosong yang hendak diisi dalam Kumpulan Pengurusan dan Ikhtisas, Kumpulan Kerja dan Separa Ikhtisas dan Kumpulan Pekeranian dan Teknik mestilah terlebih dahulu diiklankan oleh Suruhanjaya sekurang-kurangnya dalam sebuah surat khabar.
(b) Bagi jawatan-jawatan yang hendak diisi dengan pegawai-pegawai yang sedang berkhidmat sahaja, iklan-iklan hendaklah diedarkan secara surat pekeliling kepada Jabatan-jabatan dan juga disiarkan dalam suratkhabar jika difikirkan perlu.
(c) Bagi jawatan-jawatan dalam Kumpulan Kakitangan Rendah dan Buruh Kasar, iklan kekosongan hendaklah dipamirkan dipapan kenyataan Jabatan serta salinan-salinan dikirim ke Pejabat-pejabat Pekerjaan yang berdekatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (Bahagian Angkatan Pembena Negara dan Belia Pelupur Negara) dan Kementerian Pertahanan (Bahagian Veteran).

13. Seseorang pegawai yang sudah disahkan dalam jawatan asalnya tetapi apabila dilantik ke satu jawatan baru telah gagal untuk mendapat pengesahan dalam jawatan tersebut boleh dibenarkan oleh Suruhanjaya kembali semula ke jawatan asalnya atau ke satu jawatan yang serupa dengan syarat ada kekosongan dalam jawatan tersebut dan bahawa kegagalannya untuk mendapat pengesahan itu bukanlah kerana kelakuan yang tidak memuaskan. Seseorang yang telah dikembalikan sedemikian akan dibenarkan menerima gaji yang ia patut menerima sekiranya ia tidak dilantik kejawatan lain itu. Walau bagaimanapun sekiranya gaji yang ia patut menerima itu terkeatas dari sekatan peperiksaan atau sekatan kecekapan yang dia belum lulus atau layak melangkah lagi, dia akan dikehendaki memenuhi syarat-syarat melangkah sekatan tersebut sebelum boleh menerima apa-apa kenaikan gaji selanjutnya.

14. Adalah menjadi tanggungjawab seseorang pegawai dalam kontrek untuk memberitahu Ketua Pejabatnya enam bulan sebelum tamat kontreknya itu, jika ia ingin untuk menyambung kontreknya. Jika Ketua Jabatan memerlukan lagi perkhidmatan pegawai tersebut maka Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan kepada Suruhanjaya sebab-sebab perkhidmatan pegawai itu dikehendaki lagi. Sekiranya ada syarat-syarat baru yang hendak ditambah dalam penyambungan kontrek itu, maka Suruhanjaya hendaklah diberi salinan kelulusan penambahan syarat - syarat baru seperti yang telah dipersetujui oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

15. Seseorang pegawai adalah dikehendaki menjalankan segala tugas-tugas jawatannya dan lain-lain tugas yang sesuai yang ia mungkin diarahkan untuk menjalankan dari semasa ke semasa.

16. Seseorang pegawai boleh diarahkan berkhidmat di mana-mana sahaja oleh Kerajaan, melainkan ada syarat-syarat khas yang menetapkan sebaliknya.

17. Seseorang pegawai boleh dipinjamkan oleh Kerajaan untuk berkhidmat dengan mana-mana Kerajaan, badan-badan berkanun atau badan-badan swasta mengikut syarat-syarat khas yang ditetapkan dan bagi masa yang tertentu.

18. Tiap-tiap pegawai adalah dikehendaki mematuhi Pekeliling-pekeliling, Surat-surat Pekeliling dan lain-lain perintah atau peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

19. Iklan-iklan kekosongan jawatan yang akan disiarkan oleh suruhanjaya disuratkhabar hendaklah ringkas dan mengandungi:
(i) nama dan taraf jawatan.
(ii) tanggagaji.
(iii) kelulusan dan kelayakan (termasuk taraf kerakyatan).
(iv) tarikh tutup permohanan.
(v) alamat di mana permohonan mesti dikirimkan.

20. Adalah menjadi tanggungjawab Ketua Jabatan menyediakan deraf iklan seperti di Perintah Am 19 dan butir-butir berikut sebelum mengemukakan Suruhanjaya iaitu:
(i) jumlah kekosongan jawatan tetap dan / atau sementara yang hendak diisi, berserta dengan tarikh kekosongan berlaku;
(ii) jumlah calun simpanan yang diperlukan;
(iii) satu salinan surat dari Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bila ada dibuat pindaan tentang kelulusan, kelayakan atau lain-lain syarat yang berbeza dari skim perkhidmatan yang sedia ada; dan
(iv) tugas-tugas serta tanggungjawab jawatan yang hendak diisi.

21. Semua permohonan dari pegawai-pegawai Kerajaan hendaklah dibuat melalui Ketua-ketua Jabatan yang akan memanjangkan permohonan-permohonan tersebut beserta dengan Kenyataan-kenyataan Perkhidmatan yang lengkap dan Penyata-penyata Sulit Khas mereka kepada Suruhanjaya. Bagi maksud Perintah Am ini, Ketua Jabatan diperingkat Negeri boleh menghantar terus permohonan-permohonan dari pegawai-pegawai mereka ke Suruhanjaya supaya boleh sampai dalam masa yang disyaratkan.

22. (a) Tiap-tiap Suruhanjaya akan membuat tawaran-tawaran jawatan kepada calun-calun yang berjaya melalui Ketua-ketua Jabatan dan memberitahu mereka yang tidak berjaya mengikut cara yang difikirkannya sesuai. Suruhanjaya boleh juga mengarahkan Ketua-ketua Jabatan membuat tawaran-tawaran jawatan kepada calun-calun yang berjaya bagi pihaknya dan Ketua-ketua Jabatan yang telah diarahkan sedemikian hendaklah menghantarkan kepada Suruhanjaya salinan-salinan surat-surat tawaran yang telah dibuat.

(b) Tiap-tiap surat tawaran jawatan hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya nama jawatan, gaji masuk dan tanggagaji jawatan, tempoh percubaan, kewajipan bertugas di mana-mana, samada jawatan berpencen atau tidak, syarat mematuhi perintah dan peraturan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa dan lain-lain syarat yang perlu ditegaskan berkenaan dengan sesuatu jawatan itu termasuk syarat-syarat di Perintah Am 23 (a).

23. (a) Semua calun-calun ke perkhidmatan Kerajaan mestilah cukup sihat dan mereka akan dikehendaki untuk diperiksa kesihatan mereka oleh seorang pegawai perubatan Kerajaan. Mereka juga disyaratkan tidak mempunyai apa-apa rekod jenayah dan untuk menentukan ini mereka akan dikehendaki mengangkat sumpah di hadapan seorang Majisteret atau Pesuruhjaya Sumpah. Pegawai-pegawai Kerajaan yang mendapat jawatan baru dan telah memenuhi syarat-syarat di atas tidak akan dikehendaki mematuhi peraturan ini sekali lagi.

(b) Kerajaan tidak akan terikat untuk meneruskan perkhidmatan seseorang calun yang telah diterima oleh Ketua Jabatan bertugas sebelum memenuhi peraturan di (a) apabila kemudiannya didapati bahawa kesihatannya tidak memuaskan atau dalam Surat Sumpahnya didapati ada rekod jenayah. Walau bagaimanapun ia bolehlah dibayar gaji bagi masa yang ia telah berkhidmat itu.

24. (a) Ketua-ketua Jabatan hendaklah menghantar kepada Suruhanjaya Surat Penerimaan jawatan calun-calun berserta dengan Sijil Akuan Doktor dan Surat Sumpah yang telah diselesaikan.
(b) Ketua Jabatan hendaklah juga memberitahu tarikh pegawai itu melapurkan diri untuk bertugas kepada Suruhanjaya.

25. (a) Suruhanjaya boleh, mengikut budibicaranya sendiri, meneruskan perlantikan seseorang calun yang kesihatannya untuk memberi khidmat yang senantiasa dan cekap diragukan sedikit oleh pegawai perubatan Kerajaan yang memeriksanya tetapi keadaannya tidaklah sebegitu buruk untuk penolakan sama sekali. Calun yang sedemikian akan dikenakan segala syarat dan menerima segala faedah bagi jawatan tersebut sekadarkan ia tidak boleh dimasukkan ke perjawatan berpencen sebelum ia menamatkan satu tempoh perkhidmatan yang tidak kurang daripada 10 tahun atau ia dilapurkan betul-betul sihat oleh seorang pegawai perubatan, mengikut mana yang lebih dahulu. Dalam masa perkhidmatannya ia berhak menerima kenaikan gaji sekiranya ia menyempurnakan semua syarat-syarat kenaikan gaji.

(b) Perbekalan di (a) tidak akan menghalang Ketua Jabatan daripada memanggil sebuah Lembaga Perubatan (Bab F) untuk memeriksa pegawai tersebut dengan tujuan menamatkan atau menyarakannya apabila pada pandangan Ketua Jabatan tersebut keadaan keuzurannya memerlukan tindakan sedemikian.

III. TEMPOH PERCUBAAN DAN PERLANJUTANNYA

26. Seseorang pegawai yang baru dilantik ke perkhidmatan Kerajaan adalah dikehendaki menempuh satu tempoh percubaan selama tiga tahun melainkan di mana dalam satu-satu skim tertentu, tempoh ini adalah berlainan, maka tempoh yang berlainan itu akan dikenakan.

27. Seseorang pegawai yang telah disahkan dalam jawatannya dan dilantik ke satu jawatan baru boleh dikenakan tempoh percubaan selama satu hingga tiga tahun dan boleh disahkan dalam jawatannya bila-bila masa sahaja selepas satu tahun.

28. Seseorang pegawai dalam percubaan yang dilantik pula ke satu jawatan lain akan dikehendaki melalui tempoh percubaan yang penuh mengikut skim perkhidmatan, tetapi Suruhanjaya boleh mengurangkan tempoh ini mengikut budibicaranya jika tugas-tugas yang dijalankannya

29. Suruhanjaya boleh menggunakan budibicaranya untuk samada mengenakan atau tidak mengenakan tempoh percubaan bagi perlantikan seseorang calun atau pegawai-pegawai yang mempunyai kelayakan-kelayakan teristimewa.

30. (a) Tempoh percubaan yang disebutkan dalam mana-mana skim perkhidmatan boleh dilanjutkan atas pertimbangan Suruhanjaya. Perlanjutan tempoh percubaan bagi seseorang pegawai boleh dengan denda (iaitu dengan penangguhan kenaikan gajinya) atau dengan tiada berdenda, di mana pegawai itu dibenarkan menerima kenaikan gaji semasa dalam tempoh percubaan lanjutannya itu.

(b) Perlanjutan tempoh percubaan ini hanya akan diberi bila ada cukup sebab-sebab yang menasabah mengapa pegawai itu tidak dapat disahkan dalam jawatannya dalam masa yang ditetapkan dan apabila ada sokongan Ketua Jabatannya yang berpendapat bahawa ada kemungkinan untuk pegawai itu disahkan dalam jawatannya jika tempoh percubaannya dilanjutkan.

(c) Adalah menjadi tanggungjawab Ketua Jabatan untuk mengemukakan kepada Suruhanjaya perakuannya tentang perlanjutan percubaan seseorang pegawai di bawah jagaannya iaitu tiga bulan sebelum tamat tempoh percubaannya. Perakuan itu hendaklah mengandungi sebab-sebab pegawai itu tidak dapat disahkan, sokongan-sokongan Ketua Jabatan mengapa perlanjutan tempoh percubaan boleh diberi dan juga Kenyataan Perkhidmatan yang lengkap beserta dengan senarai peperiksaan (jika ada) yang telah dilulusinya atau tidak dengan tarikh-tarikhnya sekali.

31. Seseorang pegawai yang telah dilanjutkan tempoh percubaannya dengan berdenda akan hanya menerima gaji akhir sebelum perlanjutan itu bagi masa yang tempoh percubaan itu dilanjutkan. Dia juga akan hilang kekananannya sebanyak masa yang tempoh percubaannya dilanjutkan dengan berdenda itu.

32. (a) Seseorang yang dilantik buat pertama kalinya ke dalam perkhidmatan Kerajaan akan dibayar gaji permulaan dalam tanggagaji jawatan yang dimasukinya.
(b) Seseorang pegawai dalam jawatan sementara atau dalam tukar sementara atau dalam pinjaman atau dalam kontrek yang kemudiannya dilantik ke perkhidmatan tetap dalam jawatan yang sama, akan ditetapkan gaji masuknya mengikut perbekalan seperti di Perintah Am 34.

33. Seseorang pegawai Kerajaan yang telah disahkan dalam jawatan tetapnya, akan diletakkan dimata tertinggi yang berhampiran dalam tanggagaji jawatan barunya sekiranya gaji jawatan lamanya adalah sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan dalam jawatan barunya, kalau tidak peraturan Perintah Am 32 (a) adalah terpakai baginya.

34. Walau apa pun perbekalan-perbekalan lain dalam Perintah-perintah Am 32 dan 33 di atas, sesebuah Suruhanjaya boleh, bila melantik seseorang calun atau pegawai yang mempunyai kelayakan-kelayakan teristimewa, meletakkannya kemana-mana mata dalam tanggagaji tingkatan biasa atau lain-lain tingkatan mengikut budibicaranya. Lazimnya dalam kes-kes pegawai-pegawai ikhtisas, pengalaman-pengalaman sesuai selepas mendapat kelulusan ikhtisas yang boleh dibuktikan oleh mereka boleh diambil kira untuk menentukan penetapan gaji ini mengikut kadar genap satu tahun pengalaman bagi satu kenaikan mata dalam tanggagaji. Dalam kes pegawai bukan ikhtisas, pengalaman-pengalaman sesuai yang berkenaan dengan tugas-tugas jawatan barunya boleh diambil kira mengikut kadar yang sama.

V. PENGESAHAN DALAM JAWATAN DAN KEMASUKAN DALAM PERJAWATAN BERPENCEN

35. Seseorang pegawai yang telah menjalani dengan jayanya akan tempoh percubaannya, samada tempoh percubaan asalnya atau yang dilanjutkan, dan telah lulus segala peperiksaan yang disyaratkan (jika ada) serta mendapat sokongan dari Ketua Jabatannya akan layak disahkan dalam jawatannya.

36. Adalah menjadi tanggungjawab seseorang Ketua Jabatan mengemukakan perakuan pengesahan dalam jawatan bagi seseorang pegawai di bawah jagaannya apabila didapatinya pegawai itu layak diperakukan untuk pengesahan dalam jawatan. Perakuan sedemikian hendaklah dihantar kepada Suruhanjaya tiga bulan sebelum tamatnya tempuh percubaan pegawai tersebut dengan disertakan butir-butir yang berikut:
(i) Satu kenyataan Ketua Jabatan seperti berikut: (Pengakuan pengesahan berpencen)
(ii) Satu kenyataan berkenaan peperiksaan-peperiksaan yang disyaratkan pegawai itu mesti lulus beserta dengan tarikh-tarikh ia lulus; dan
(iii) Satu Kenyataan Perkhidmatan yang lengkap.

37. Seseorang pegawai yang telah dilanjutkan tempoh percubaannya dengan atau tanpa denda kerana tidak lulus peperiksaan atau tiada mendapat sokongan pengesahan dalam jawatan dari Ketua Jabatannya, akan layak disahkan dalam jawatannya dari tarikh hari pertama peperiksaan yang dilulusinya itu atau dari tarikh ia berjaya mendapat sokongan pengesahan dari Ketua Jabatannya, mengikut mana yang berkenaan.

38. Seseorang pegawai yang memegang satu jawatan berpencen adalah lazimnya layak untuk dimasukkan ke dalam perjawatan berpencen pada tarikh dan di dalam satu tindakan yang sama bagi pengesahan dalam jawatannya melainkan jikalau tempoh percubaanya itu kurang daripada 3 tahun, maka kemasukannya ke dalam perjawatan berpencen hendaklah selepas 3 tahun perkhidmatan dalam jawatan berpencen atau sekiranya ia dilantik mengikut Perintah Am 25, dalam tempoh yang ditetapkan dalam Perintah Am 25 (a). Ketua Jabatan hendaklah menghantar bersama-sama butir di Perintah Am 36 (jika tindakan itu bersekali) satu perakuan untuk kemasukan pegawai itu ke dalam perjawatan berpencen seperti dalam Lampiran B.

39. Seseorang pegawai yang telah dimasukkan ke dalam perjawatan berpencen tidak perlu diperakukan sekali lagi untuk kemasukan ke dalam perjawatan berpencen apabila dilantik ke satu jawatan baru.

40. Suruhanjaya akan memberitahu seseorang pegawai tentang pengesahan dalam jawatannya dan juga tentang kemasukan ke dalam perjawatan berpencen melalui Ketua Jabatannya.

41. Tarikh perlantikan seseorang pegawai baru ialah tarikh ia melapurkan diri bertugas. Peraturan ini terpakai juga bagi seseorang pegawai yang sedang berkhidmat yang telah dilantik ke satu jawatan baru yang berlainan.

42. (a) Tarikh perlantikan tetap seseorang pegawai sementara yang dilantik ke jawatan tetap yang serupa akan dikira dari hari pertama temuduga jawatan tersebut.

(b) Apabila sekumpulan pegawai-pegawai sementara di dalam jawatan yang sama dilantik ke dalam perkhidmatan tetap yang serupa melalui satu temuduga yang sama, tarikh perlantikan tetap mereka hendaklah bermula dari tarikh hari pertama temuduga dengan syarat bahawa telah sedia ada kekosongan jawatan tetap pada masa itu. Peraturan ini akan juga dipakai bagi sekumpulan pegawai-pegawai tetap dalam satu skim perkhidmatan yang sama yang dilantik ke satu jawatan yang lebih tinggi melalui satu temuduga yang sama bersyarat kepada ada kekosongan pada tarikh tersebut.

(c) Walau apa pun perbekalan di (a) atau (b) di atas seseorang pegawai sementara dalam Kumpulan Pengurusan dan Ikhtisas yang dilantik ke jawatan tetap yang sama akan diberi tarikh perlantikan tetapnya sebagai bermula dari tarikh perlantik sementaranya itu.

43. Tarikh kekananan seseorang pegawai akan ditentukan mengikut tarikh perlantikannya. Di mana tarikh perlantikannya adalah sama bagi beberapa orang pegawai, maka tarikh kekananan mereka akan ditentukan mengikut susunan bilangan pilihan temuduga Suruhanjaya.

44. Seseorang pegawai yang dikembalikan ke jawatan lamanya mengikut Perintah Am 13 akan terus memegang kekananan asalnya dalam jawatan lama itu.

45. Tarikh kenaikan gaji seseorang pegawai ialah ulangtahun genap perkhidmatannya dalam satu-satu jawatan dikira seperti berikut:
(i) Jikalau tarikh perlantikan atau memegang jawatan ialah hari pertama bekerja dalam bulan (tidak kira samada hari itu satu haribulan atau tidak), tarikh kenaikan gaji ialah satu haribulan bulan itu;
(ii) Bagi tarikh perlantikan atau memegang jawatan yang bukan hari pertama bekerja bulan, tarikh kenaikan gaji ialah satu haribulan bulan berikutnya.

46. Seseorang pegawai yang telah ditetapkan gaji masuknya mengikut Perintah Am 33 atau 34 dan di dapati menjalani tempoh percubaannya dengan memuasnya, akan dibenarkan menerima kenaikan gaji dalam tempoh percubaannya itu, walaupun ini bermakna melangkah sebarang sekatan dalam tanggagaji yang berkenaan. Tetapi selepas tamatnya tempoh percubaannya itu, dia tidak akan dibenarkan menerima sebarang kenaikan lagi sehingga ia telah memenuhi segala syarat-syarat kenaikan gaji yang ada bagi mana-mana mata dalam tanggagaji yang telah dilaluinya semasa dalam tempoh percubaannya itu.

47. (a) Seseorang pegawai yang telah ditangguhkan kenaikan gajinya kerana tidak dapat disahkan dalam jawatannya atau kerana tidak lulus peperiksaan yang disyaratkan, akan diberi semula tarikh kenaikan gaji asalnya oleh Ketua Jabatannya apabila ia telah disahkan dalam jawatannya atau pun telah lulus dalam peperiksaan yang disyaratkan mengikut mana yang berkenaan, tetapi tidak ada gaji kebelakangan yang boleh dibayar kepadanya. Tertakluk kepada syarat di (b) gajinya juga hendaklah diselaraskan ke peringkat yang ia patut menerima sekiranya kenaikan gajinya tidak pernah tertahan. Gaji yang telah diselaraskan itu boleh dibayar mulai dari tarikh pengesahannya itu atau dari hari pertama peperiksaan yang telah dilulusinya itu, mengikut mana yang berkenaan.

(b) Di mana dalam pelarasan gaji seseorang pegawai seperti di (a) itu ia akan melangkah satu sekatan lain yang ia belum boleh atau layak melangkah dalam tanggagaji itu, maka pelarasan gajinya hendaklah jangan melebihi sekatan tersebut.

48. Dalam kes-kes tertentu di mana seseorang pegawai itu lulus peperiksaan yang pertama kali diadakan selepas sahaja tarikh yang disyaratkan ia mesti lulus, pegawai itu akan dianggap sebagai telah lulus dalam masa yang disyaratkan jika peperiksaan itu merupakan peluang pertama yang berpatutan yang ia dapat memasuki peperiksaan tersebut dan ia bolehlah menerima kenaikan gaji dari tarikh kenaikan gaji asalnya.

"Peluang pertama yang berpatutan" di sini ialah dimaksudkan bagi kes di mana Jabatan pegawai tersebut tidak pernah mengadakan peperiksaan dalam tempoh 12 bulan sebelum berakhir tempoh yang

49. Seseorang pegawai yang telah diberi cuti separuh gaji atau tanpa gaji mengikut perbekalan-perbekalan dalam Bab C adalah berkelayakan mendapat kenaikan gaji walaupun ia telah bercuti sedemikian bagi seluruh atau sebahagian daripada satu-satu tahun.

BAHAGIAN DUA : VII. KENAIKAN PANGKAT

50. Seseorang pegawai itu akan dipilih untuk kenaikan pangkat semata-mata atas kebolehan. Untuk tujuan ini, kebolehan seseorang pegawai itu akan ditentukan mengikut :
(i) kecekapan yang ditunjukkan dalam menjalankan tugas-tugasnya; dan
(ii) sifat-sifat peribadi termasuk keutuhan, kelulusan-kelulusan serta pengalaman-pengalaman yang sesuai dengan jawatan yang hendak diisi.

Kekananan di dalam perkhidmatan hanya akan diambil kira apabila dua atau lebih pegawai itu didapati mempunyai kebolehan yang sama.

51. Tiap-tiap pegawai yang dipinjamkan atau ditukar sementara kelain-lain Jabatan Kerajaan, badan-badan berkanun atau badan-badan swasta adalah layak untuk ditimbangkan bersama-sama bagi sebarang urusan kenaikan pangkat mengikut perbekalan-perbekalan dalam skim perkhidmatan asalnya.

52. Apabila timbul sesuatu kekosongan yang tidak akan diiklankan tetapi perlu diisi dengan kenaikan pangkat, maka seseorang Ketua Jabatan hendaklah membuat perakuan-perakuan kepada Lembaga Kenaikan Pangkat yang berkenaan memohon pengisian jawatan tersebut dengan melampirkan satu senarai pegawai-pegawai yang layak dipertimbangkan berserta lain-lain butir yang diperlukan oleh sesebuah Lembaga Kenaikan Pangkat itu

53. Apabila sesuatu kekosongan itu perlu diisi dengan menjemput pemohon-pemohon yang berkelayakan dalam satu-satu Jabatan itu sahaja maka Ketua Jabatan hendaklah mengiklankan kekosongan itu melalui pekeliling Jabatan. Bagi kenaikan pangkat dalam perkhidmatan gunasama, pemberitahuan menjemput pemohon-pemohon yang berkelayakan hendaklah dibuat oleh Ketua Perkhidmatan menerusi surat-surat pekeliling dan Warta Kerajaan.

54. Apabila pada pandangan seseorang Ketua Jabatan bahawa tidak ada cukup pegawai-pegawai yang sesuai untuk mengisi semua kekosongan dalam satu-satu urusan kenaikan pangkat yang tertentu, maka Ketua Jabatan boleh meluaskan lingkungan kenaikan pangkat itu sewajamya dengan syarat bahawa telah diperolehi persetujuan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam terlebih dahulu.

55. (a) Tertakluk kepada (b), tarikh-tarikh kenaikan pangkat adalah ditetapkan sebagai berikut:
(i) Kepada tingkatan………… dari tarikh kekosongan berlaku atau tarikh pegawai itu berkelayakan untuk naik pangkat, yang mana terkemudian;
(ii) Kekosongan yang timbul kerana pemegangnya bersara……………. dari tarikh pemegangnya bercuti sebelum bersara;
(iii) Kekosongan yang baru diadakan atau dinaikkan taraf……………..dari tarikh jawatan itu diwujudkan atau dinaikkan taraf;
(iv) Kepada Jawatan (iaitu jawatan-jawatan Tingkatan Tertinggi "D" dan ke atas)………. mulai dari tarikh pegawai menjalankan tugas jawatan.

(b) Walau apa pun perbekalan-perbekalan di (a), (i), (ii), (iii) dan (iv) di atas tarikh sebenar kenaikan pangkat seseorang pegawai itu akan bergantong juga kepada tarikh yang ia didapati layak dan sesuai oleh sesebuah Lembaga Kenaikan Pangkat untuk kenaikan pangkat tersebut dan tidak lebih awal.

56. (a) Seseorang pegawai yang telah dinaikkan pangkat ke satu jawatan yang mempunyai tanggagaji-tanggagaji tertentu, perletakannya ke dalam tanggagaji baru itu hendaklah mengikut peraturan ini:
(i) Jika gaji akhir dalam tingkatan lamanya adalah lebih rendah daripada gaji permulaan dalam tingkatan barunya, ia akan menerima gaji permulaan dalam tingkatan barunya;
(ii) Jika gaji akhir dalam tingkatan lamanya adalah sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan dalam tingkatan barunya, dia akan mendapat gaji di mata tertinggi yang berhampiran dalam tanggagaji jawatan barunya itu.

(b) Tarikh-tarikh kenaikan gaji bagi kes-kes di (a) (i) atau (ii) di atas ialah pada hari genap ulangtahun kenaikan pangkat tersebut jika tarikh kenaikan pangkat itu ialah satu haribulan, dan pada satu hari bulan bulan berikutnya bila tarikh kenaikan pangkat itu bukannya satu haribulan.

57. Kerajaan boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pegawainya apabila ia didapati menyembunyikan apa-apa maklumat tentang kesihatannya di dalam borang pemeriksaan doktor atau membuat sumpah palsu di dalam Surat Sumpahnya seperti yang di syaratkan di dalam Perintah Am 23 (a).

58. Seseorang pegawai dalam percubaan yang tidak berjaya untuk disahkan dalam jawatan kerana tidak mendapat sokongan perakuan daripada Ketua Jabatan atau kerana tidak lulus di dalam peperiksaan- peperiksaan yang disyaratkan, samada ia telah diberi lanjutan tempoh percubaan atau tidak, boleh juga ditamatkan perkhidmatannya dengan diberi notis mengikut peraturan di Perintah Am 59.

59. Kuasa yang boleh menamatkan perkhidmatan di Perintah-perintah Am 57 dan 58 hendaklah tidak rendah daripada kuasa yang boleh melantik seseorang ke perkhidmatan tersebut. Tindakan penamatan perkhidmatan ini, melainkan dalam kes-kes seperti di Perintah Am 60, tidak boleh diambil sehingga pegawai itu telah diberi sebab-sebab mengapa penamatan perkhidmatannya telah dicadangkan dan dia telah pun diberi peluang untuk membela dirinya dalam tempoh yang tidak kurang daripada 14 hari.

Notis menamatkan dari kerajaan.

60. Walau apa pun perbekalan lain dalam bab ini, Kerajaan boleh menamatkan perkhidmatan seseorang pegawai yang bukan dalam perjawatan berpencen dengan memberi notis yang sesuai dengan syarat-syarat perlantikannya termasuk notis-notis penamatan jawatan seperti dalam Perintah Am ini. Dalam hal pegawai-pegawai sementara dan pegawai-pegawai bukan di dalam perjawatan berpencen yang lain, tempoh ini ialah 3 bulan jika mereka telah berkhidmat lebih daripada satu tahun; dan satu bulan jika mereka berkhidmat kurang daripada satu tahun. Dalam kedua-dua hal Kerajaan boleh menamatkan perkhidmatan mereka dengan serta merta dan tanpa memberi apa-apa sebab dengan membayar sebulan gaji sebagai pengganti notis.

61. (a) Seseorang pegawai yang hendak meletakkan jawatan Kerajaannya hendaklah terlebih dahulu memberi notis berhenti kerja seperti berikut:
(i) Pegawai-pegawai yang telah disahkan dalam jawatan ............... tiga bulan notis atau membayar sebulan gaji pengganti notis.
(ii) Pegawai-pegawai dalam percubaan atau pegawai-pegawai sementara………… sebulan notis atau membayar sebulan gaji pengganti notis.
(iii) Pegawai-pegawai kontrek………………. mengikut syarat-syarat dalam kontrek.
Notis berhenti kerja hendaklah dihantar melalui Ketua Jabatan yang akan memanjangkannya kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

62. Melainkan jikalau telah diberi pengecualian-pengecualian tertentu oleh Kerajaan pegawai-pegawai yang mempunyai apa-apa ikatan dengan Kerajaan seperti syarat terpaksa berkhidmat bagi masa tertentu yang belum selesai lagi atau mempunyai hutang-piutang dengan Kerajaan akan dikehendaki menyelesaikan segala urusan ikatannya sebelum notis-notis seperti di Perintah Am 61 boleh diluluskan.

63 (a) Dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam boleh membenarkan tempoh notis berhenti kerja itu dipendekkan.
(b) Seseorang pegawai, samada dalam jawatan sementara atau tetap, yang dilantik ke satu jawatan Kerajaan yang lain tidak dikehendakki meletakkan jawatannya.

IX. UMUR BERSARA

64. Umur-umur bersara pilihan dan wajib bagi pegawai-pegawai adalah sebagai berikut:

Bersara Pilihan
Lelaki ... ... ...50
Perempuan ... ...45

Bersara Wajib
Lelaki ... ... ...55
Perempuan ... ...50

65. Seseorang pegawai perempuan yang berkahwin yang telah disahkan dalam jawatannya atau disah dan dimasukkan ke dalam perjawatan berpencen boleh disarakan bila-bila masa sahaja oleh pihak yang berkuasa jika sesebuah Suruhanjaya berpendapat bahawa kedudukan dan tanggungjawabnya sebagai seorang perempuan yang berkahwin mengganggu kecekapannya dalam menjalankan tugas-tugas resminya.

66. Seseorang pegawai perempuan yang memegang jawatan berpencen dan telah berkhidmat dengan tidak putus-putus selama 5 tahun atau lebih, akan layak menerima ganjaran perkahwinan yang dikira mengikut perbekalan seksyen 18, Ordinan Pencen, 1951 sebagaimana yang dipinda dari semasa ke semasa apabila ia disarakan atas sebab-sebab seperti dalam Perintah Am 65. Bagi pegawai perempuan yang memegang jawatan berpencen mulai daripada tarikh sebelum 1hb Januari, 1969, ganjaran perkahwinan adalah juga layak diberikan jika ia meletakkan jawatan atas sebab-sebab perkahwinan

67. Seseorang pegawai perempuan yang dilantik ke sesuatu jawatan tidak berpencen (tidak termasuk jawatan sementara atau konterek) dan ia tidak kena mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah berkelayakan mendapat bonos berhenti kerja mengikut kadar ¾ bulan gaji bagi tiap-tiap tahun genap perkhidmatan tetapi tidak melebihi maksima 9 bulan gaji semuanya yang dikira di atas gaji bersih, atau sebulan gaji bagi tiap-tiap tahun genap perkhidmatan tetapi tidak melebihi setahun gaji semuanya jika dikira di atas gaji pokok, apabila ia disarakan atas sebab-sebab yang sama seperti di Perintah Am 65 setelah berkhidmat dengan tidak putus-putus selama 5 tahun atau lebih. Bagi pegawai perempuan yang dilantik sebelum 1hb Januari, 1969 bonos berhenti kerja adalah juga layak diberikan jika ia meletakkan jawatan atas sebab-sebab perkahwinan. Cara-cara untuk menimbangkan permohanan dan pembayaran bonos ini hendaklah, seberapa boleh, mengikut cara-cara yang diperuntukkan di bawah seksyen 18, Ordinan Pencen, 1951.
.
BAHAGIAN EMPAT

68. Seseorang pegawai yang dilantik sebeIum 1hb Februari, 1957 boleh dibenarkan meminda rekod tarikh lahirnya dengan mengemukakan sijil beranak yang boleh diterima. Surat Sumpah tidak boleh diterima menggantikan surat beranak atau menyokong satu surat beranak yang tiada mempunyai nama.
TAMAT

PERKHIDMATAN-PERKHIDMATAN GUNASAMA[P.A. I (viii)]
A. Ketua Perkhidmatan: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
1. Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik.
2. Perkhidmatan Pentadbir Melayu.
3. Perkhidmatan Kerja.
4. Perkhidmatan Urusan Cina
5. Perkhidmatan Kerani Am.
6. Perkhidmatan Jurutrengkas.
7. Perkhidmatan Pengira Elektronik.

B. Ketua Perkhidmatan: Akauntan Negara
1. Perkhidmatan Pasukan Akauntan.
2. Perkhidmatan Kerja Kira-kira.
3. Perkhidmatan Operator Mesin Kira.
.

No comments:

Post a Comment